Kuning Suci dan Putih Murni, kit 2021 Perak FC

Penantian peminat setia pasukan Perak FC mendapatkan jersi baharu pasukan kesayangan tertunai selepas Perak FC Sdn Bhd melancarkan jersi pasukan itu sebentar tadi bagi saingan kesemua liga bola sepak tempatan.

Pelancaran hanya dilakukan menerusi siaran video gimik di laman sosial seperti Facebook rasmi kendalian Perak FC serta Kaki Jersi tepat jam 12.00 tengahari tadi, susulan prosedur operasi standard (SOP) mengekang pandemik Co v!d-19.

Berkonsepkan warna keramat bendera Perak, corak dan reka bentuk jersi skuad berkenaan membabitkan aksi di laman sendiri seperti biasa sinonim dengan bendera negeri iaitu kuning hitam manakala warna putih hitam dipilih membabitkan aksi di stadium lawan.

“Introducing our new 2021 home and away kit, The Sacred Yellow and The Pristine White (Memperkenalkan kit baharu (bagi) 2021 kami, Kuning Suci dan Putih Murni),” demikian yang dinyatakan pada keterangan hantaran video terbabit.

Seperti musim lalu, tiada mana-mana logo penaja diletakkan pada jersi pasukan, namun kali ini tertera logo ‘Lenggong Valley Archaeological Heritage Site’ pada jersi di rumah sendiri dan logo ‘Royal Belum Perak’s Pristine Tropical Rainforest’ pada jersi di gelanggang lawan.

Turut dipamerkan adalah logo ‘Pangkor Duty Free Island’ sebagaimana tahun lalu, mengisyaratkan ia bertujuan bagi mempromosikan tempat pelancongan di Perak sebagaimana tahun sebelumnya.

Pada kanan jersi tertera logo Kaki Jersi selaku rakan kit rasmi sementara logo baharu Perak FC ciptaan Hafiz Ismail dari Kuala Kangsar menghiasi sebelah kiri jersi.

Jersi itu akan dijual kepada orang ramai dan penyokong pada harga berpatutan iaitu RM39 sehelai untuk kanak-kanak dan RM99 hingga RM105 untuk dewasa.

sumber : HM

Perak akan memulakan kempen Liga Super Malaysia musim ini dengan menentang PJ City pada 7 Mac depan di Stadium Perak, di sini.