Lambakan pemain terlampau ramai

Lambakan pemain dan hilang mata penca­rian menjadi kebimbangan terbesar pemain-pemain Liga M3 ketika ini, biarpun Liga Bola Sepak Amatur (AFL) belum mengumumkan mengenai nasib saingan semi ­profesional itu musim ini.

Jika tahun lalu liga dibatalkan ketika pandemik C0 v!d-19 hanya mencecah ratusan kes sehari, keadaan dilihat lebih menakutkan kali ini apabila Malaysia mencatat ribuan kes setiap hari.

Pertahanan Kuala Lumpur Rovers, Arman Fareez Mohd. Ali berkata, pemain akan terkesan teruk jika kejohanan dibatalkan buat kali kedua.

Katanya, bola sepak tempatan sudah berdepan isu lambakan pemain ekoran penutupan dua pasukan Liga Malaysia (Liga M), UKM FC dan Felda United, dan keadaan akan menjadi bertambah buruk jika Liga M3 yang menjadi alternatif mereka untuk mencari rezeki tidak dilangsungkan.

“Kalau Liga M3 dibatalkan, ia akan bagi kesan besar terutama kepada pemain yang tiada pasukan tahun ini. Kita sedia maklum UKM dan Felda United sudah tutup jadi berlaku lambakan pemain terlampau ramai.

“Ia termasuk dari skuad dari Piala Presiden dan Belia yang tidak mendapat tempat dalam pasukan utama, ke mana haluan mereka?

“Liga Super membariskan 12 pasukan dan Liga Perdana 11, namun empat daripada skuad Liga Perdana adalah feeder (pasukan kedua negeri), manakala satu kuota diberi kepada Projek FAM-MSN. Ramai tidak ada pasukan tahun ini.

“Kebanyakan pemain, pendapatan utama mereka hasil bermain bola sepak.

“Kalau buat kerja lain boleh tapi ambil masa, selain itu banyak pasukan sudah melakukan persediaan untuk bertanding,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dia yang kini menceburi kerjaya sebagai perunding takaful juga menegaskan, pemain Liga M3 tidak ada masalah untuk mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketat asalkan saingan diteruskan.

Sementara itu, rakan sepasukan Muhammad Faiz Subri di Northern Lions FC, Anas Shaharom amat berharap Liga M3 tidak menjadi ‘mangsa’ buat kali kedua kerana jika ia berlaku, sudah pasti akan menjejaskan sumber pendapatan.

“Pertama sudah tentu beri kesan kepada sumber pendapatan kepada mereka yang bergantung sepenuhnya kepada sukan itu.

“Memang kesukaran dan rasa perit itu sudah dilalui sebelum ini, namun sehingga kini masih ada rakan-rakan pemain yang bergelut melakukan pelbagai pekerjaan untuk menampung perbelanjaan harian dan kos sara hidup.

sumber : UM

“Dengan situasi semasa ­C0 v!d-19 yang membimbangkan, memang tidak boleh nak buat apa-apa kerana faktor keselamatan menjadi keutamaan,” katanya.