Sukan

Letak jawatan presiden PAFA berkuat kuasa serta-merta

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), berkuat kuasa serta-merta.

Turut berbuat demikian adalah timbalannya, Adly Shah Ahmad Tah yang juga berkuatkuasa serta merta. Mereka mengumumkan keputusan itu dalam satu sidang media di Hotel Casuarina Meru, di sini, sebentar tadi.

Dalam sidang media berkenaan, Ahmad Faizal memberi alasan keputusan itu diambil kerana mendakwa PAFA kini tidak lagi memperoleh bantuan dan sokongan kerajaan negeri khususnya sumber kewangan disebabkan politik dalaman.

Katanya, surat peletakan jawatannya akan diserahkan kepada Setiausaha Kehormat PAFA sejurus selepas sidang media itu.

“Saya ada dengar khabar angin mengatakan ketiadaan sokongan dan bantuan kerajaan negeri adalah disebabkan saya masih Presiden PAFA dan mahu ‘melindungi’ individu tertentu di dalam persatuan jika saya kekal.

“Sepatutnya, janganlah kita babitkan hal politik dalam bola sepak kerana ia akan merugikan semua pihak terutamanya pegawai serta pemain pasukan. Saya rasakan wajar untuk kerajaan negeri meneruskan bantuan kerana PAFA tidak mempunyai sumber pendapatan khusus.

“Sebanyak 90 peratus pendapatan PAFA bergantung kepada hasil tajaan dan sumbangan. (Apapun) yang penting (susulan peletakan jawatan) asalkan gaji pegawai dan pemain dapat dibayar melaui sumbangan kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.

Ahmad Faizal berkata pada tahun lalu pengurusan PAFA di bawahnya pimpinannya berjaya mendapatkan tajaan sebanyak RM21 juta setakat Oktober yang sekali gus memastikan tiada tunggakan pembayaran gaji selain komitmen kewangan lain sehingga tempoh berkenaan.

“Justeru pembayaran gaji serta komitmen lain sudah diselesaikan sehingga pertengahan November 2020. Bermakna sekarang masih berhutang iaitu bagi separuh akhir bulan November, Disember 2020, dan sehingga saat ini membabitkan kos hampir RM2 juta sebulan,” katanya.

Dalam pada itu, Adly Shah yang juga pengurus pasukan skuad Liga Super Perak berkata, keputusan berundur diambil kerana tidak mahu meletakkan pasukan itu dalam keadaan sulit selain menghormati keputusan Ahmad Faizal yang turut melepaskan jawatan presiden.

Katanya, tindakan berkenaan dibuatnya sendiri tanpa mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Eksekutif PAFA selain menegaskan tidak akan membuat pusingan U seperti pernah dilakukannya sebelum ini.

“Saya tidak pasti sama ada ketiadaan bantuan dan sokongan kerajaan negeri terhadap PAFA adalah disebabkan saya atau sebaliknya. Namun apa yang saya boleh sampaikan, perjalanan saya bersama persatuan ini berakhir hari ini.

sumber : BH

“Pengunduran kami tidaklah bermakna PAFA ibarat kapal tanpa nakhoda kerana persatuan masih mempunyai tiga naib presiden di mana naib presiden 1 (Datuk Muhammad Yadzan Mohammad) yang akan memangku jawatan sebagai ‘caretaker’ (penjaga keseluruhan),” katanya.