Liga M bakal dihentikan seketika

Skuad H@rimau Malaya dijangka tidak berdepan masalah untuk mempersiapkan pasukan terbaik menjelang Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Jun depan apabila saingan Liga Malaysia (Liga M) bakal dihentikan seketika untuk memberi laluan kepada Tan Cheng Hoe.

Ini bermakna, barisan kejurulatihan kemungkinan tidak akan lagi berdepan dengan isu kebenaran pasukan untuk menghimpunkan pemain yang berlaku sebelum ini.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, pihaknya sudah menyusun jadual Liga M terbaik dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

Ia termasuk persiapan pasukan kebangsaan di mana beliau mengesahkan Liga M akan berehat seketika sepanjang bulan Jun bagi membolehkan Malaysia beraksi di pusingan kelayakan Piala Dunia itu yang dijangka berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Katanya, Liga Super akan berehat manakala saingan Liga Perdana diteruskan kerana kebanyakan pemain kebangsaan bersaing di Liga Super.

“Akan rehat (Liga Super), mungkin ia akan membabitkan Liga Super sahaja kerana kebanyakan pemain negara dari Liga Super dan Liga Perdana akan jalan seperti biasa. Kita ada berbincang antara pengurusan kebangsaan dengan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) untuk menyusun liga, sebab kepentingan Liga M juga sama penting dengan pasukan kebangsaan kita,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Beliau berkata, jadual yang disusun turut memberi kelebihan buat tiga wakil negara yang akan beraksi di pentas Asia iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Liga Juara-Juara Asia (ACL) serta Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Terengganu FC dalam Piala AFC.

“Begitu juga dengan JDT yang terbabit dengan ACL dan juga KDA FC dan Terengganu FC dalam Piala AFC, maka kita juga terpaksa menangguhkan sekejap Liga Super,” katanya.

sumber : HM

Berdasarkan jadual awal yang dikeluarkan AFC, kempen kelayakan Piala Dunia dan Piala AFC akan diadakan pada Jun dengan tarikh berbeza, sementara ACL pula bermula pada 21 April hingga 7 Mei ini.