Luqman fokus proses pemulihan

Bintang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin berharap dapat sembuh secepat mungkin meskipun doktor perubatan menyarankan pemain itu berehat selama tiga minggu.

Luqman mengalami kecederaan hamstring paha kanannya ketika menjalani sesi latihan sehari selepas perlawanan menentang RSC Anderlecht minggu lalu.

Pihak perubatan kelab telah membuat pemeriksaan dan mendapati otot pemain berusia 18 tahun itu koyak sepanjang 2 sentimeter, sekali gus dinasihatkan untuk berehat selama tiga minggu.

Penampilan pertamanya bersama KV Kortrijk menyaksikan Luqman  memahat sejarah sebagai pemain pertama Malaysia beraksi di liga utama Eropah.

“Ketika melakukan sesi latihan menyepak bola tiba-tiba saya rasa sakit di paha sebelah kanan.

“Bila doktor periksa terdapat koyakan otot di paha kira-kira 2cm.

“Doktor nasihatkan saya untuk berehat dulu dalam masa tiga minggu untuk fokus kepada proses pemulihan.

“Saya mula rasa sakit selepas perlawanan menentang RSC Anderlecht minggu lalu, cuma ketika itu saya ingat cedera biasa.

“Saya berharap sesi pemulihan akan berjalan lancar dan dapat segera sembuh untuk kembali bersama rakan pasukan,” kata Luqman lebih mesra disapa Luqie.

sumber : UM

Kec3deraan yang dialaminya menyaksikan Luqman bakal terlepas tiga aksi bersama skuad utama dalam saingan Liga Pro Belgium menentang Zulte Waregem esok, disusuli perlawanan berdepan K Beerschot VA pada 7 November dan Club Brugge (22 November).