Maaf FAM Yusri tidak layak – Khalid Ali

Legenda bola sepak negara Khalid Ali mempersoal keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) membangunkan bakat muda menerusi pembentukan Skuad Projek FAM-MSN yang dianggap tidak mengikut lunas pembangunan kumpulan pemain itu.

Sebagai pemerhati bola sepak tempatan, Khalid, yang juga bekas pemain Selangor, berkata pembentukan Skuad Projek FAM-MSN itu juga tidak menyeluruh dan hanya membabitkan sejumlah kecil pemain.

Beliau mendakwa struktur pentadbiran dan kejurulatihan pasukan tersebut turut diisi individu tidak berkelayakan, malah tidak mempunyai pengetahuan tinggi dan berpengalaman luas dalam soal pembangunan bola sepak.

“Soal pembangunan bakat ini, FAM perlu kumpulkan orang yang berkemampuan membentuk sebuah pentadbiran yang baik dan cekap. Bila bercakap pasal pembangunan juga perlu ada seorang yang pakar dalam bahagian teknikal dalam program itu.

“Saya minta maaf, FAM nak buat program pembangunan tetapi mereka lantik individu yang belum terbukti, pada saya beliau (Yusri Che Lah) tidak layak (sebagai ketua jurulatih) sebab berdasarkan rekod di kelab pun gagal tetapi masih dipilih, jadi ke mana hala tuju skuad projek ini?,” katanya.

Pada masa sama, penyertaan Skuad Projek FAM-MSN dalam saingan Liga Perdana bermula musim depan turut mampu mengundang kesan negatif kepada barisan pemain skuad itu yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Yusri selaku ketua jurulatih.

Khalid, yang merupakan antara watak penting kejayaan skuad negara dalam kempen kelayakan Sukan Olimpik Moscow 1980, berkata keputusan membenarkan pemain seawal usia 18 tahun beraksi dalam kancah profesional dan berintensiti tinggi jelas bercanggah dengan konsep pembangunan bakat muda.

“FAM nak kembangkan potensi pasukan ini tetapi letak dalam Liga Perdana, ia satu kejohanan. Adakah langkah itu tepat? Ia seperti membunuh karier mereka. Saya seorang bekas pemain, pengalaman saya apabila bersaing dengan pemain lebih berpengalaman saya jadi gementar… 30 peratus tahap keyakinan saya turun.

“Dalam proses membentuk bakat muda terbaik, pemain kena melalui fasa serta tahap tertentu dan kena ingat tidak semua pemain mampu terus melompat ke tahap lebih tinggi.

Tapi dalam isu ini, pemain di tahap satu (misalnya) terus lompat ke tahap ke-10 apabila beraksi dalam Liga Perdana,” katanya.

Skuad Projek FAM-MSN merupakan usaha mencipta laluan kerjaya produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) termasuk graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam membantu barisan pemain muda negara mengharungi transisi ke pentas senior dan profesional.

Sebagai permulaan, seramai 30 pelatih dalam kalangan lepasan AMD, produk Piala Belia dan Piala Presiden serta Sekolah Sukan Malaysia dan Negeri serta Pusat Latihan Daerah (PLD) di bawah PPBN akan membentuk skuad perintis itu bermula Januari depan.

sumber : HM

Dalam pada itu, Khalid berkata antara cadangan terbaik bagi membangunkan bakat tempatan adalah dengan menjadikan saingan Liga Perdana khusus sepenuhnya untuk pemain tempatan sahaja, malah langkah itu sekali gus dapat mencungkil lebih ramai pemain tempatan di posisi penting.