Mahu Azri Terus fokus dan tidak leka dengan pujian – Aidil

Ketua Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak mahu penjaga gol mudanya Azri Abdul Ghani terus fokus dan tidak leka dalam pujian yang diterima selepas berjaya bertindak cemerlang dengan menafikan beberapa percubaan bahaya pihak lawan dalam perl@wanan menentang Melaka United Isnin lalu.

Khidmat pemain berusia 21 tahun ini dijangka terus ditagih skuad L@ng Merah bagi meneruskan perlawanan penting menentang Perak dalam aksi Liga Super ahad ini untuk melayakkan diri ke saingan Piala AFC musim depan.

“Kemenangan 1-0 dengan ‘clean sheet’ yang dihasilkan malam itu akan memberi perangsang yang lebih kuat untuk Azri dalam persembahan dia seterusnya di masa depan dan ini satu perkembangan positif.

“Namun, di sebalik pujian menggunung yang diterimanya daripada penyokong, dia harus bijak mengimbangi diri dan tidak mudah tenggelam dalam pujian berkenaan yang boleh melalaikan serta melekakan dirinya.

“Bagaimanapun saya yakin pemain saya tidak begitu, dan dia bersama-sama pemain lain akan terus bekerja keras untuk mencapai cita-cita di masa hadapan kerana pencapaian sebagai seorang pemain bola sepak adalah secara konsisten dan kekalkan momentum persembahan berterusan.” katanya.

Aidil juga berkata melalui pengalamannya, beliau juga pernah melihat beberapa pemain muda di peringkat antarabangsa yang sedang meningkat naik, akhirnya gagal mencapai objektif pencapaian diri selepas ‘tenggelam’ dibuai pujian melangit.

“Jika tiada keseimbangan diri dalam menghadapi pujian, ada sesetengah pemain akan mudah lupa diri, malah ada yang boleh menjadi ‘besar kepala’ dan ini boleh melalaikan dan menghancurkan karier mereka kelak.

“Jadi persiapan mental pemain juga sangat diperlukan bagi mereka agar tidak cepat berpuas hati dalam sesuatu pencapaian yang sudah mereka capai di awal pembabitan sebagai pemain era profesional.

“Sikap sudah berpuas hati perlu dibuang jika mereka ingin melihat masa depan mereka yang cemerlang,” katanya.