Mahu fokus kepada bola sepak, tepikan ‘drama’ yang tidak sepatutnya – Sumareh

‘Isu panas’ membabitkan pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh susulan penggantungan dua tahun oleh Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) jelas memberi impak apabila mengganggu fokus pemain terbabit.

Justeru, Sumareh yang kini beraksi bersama Police Tero FC di Thailand merayu kepada semua pihak supaya dapat mengetepikan ‘drama’ yang tidak sepatutnya itu sekali gus membolehkan dia memberi tumpuan kepada bola sepak dan tidak diganggu dengan kontr0versi.

Pemain itu mengakui isu terbabit bukan setakat memberi kesan kepada dirinya dari segi mental, namun turut memberi tempias kepada ahli keluarganya yang berada di Malaysia.

“Saya penat dengan segala drama ini kerana saya ingatkan apabila berhijrah ke Thailand, ia akan memudahkan lagi keadaan namun ia tidak berlaku.

“Saya merayu kepada semua pihak supaya dapat berhenti bercakap mengenainya kerana ia tidak adil kepada adik beradik saya yang masih lagi bersekolah di Malaysia. Mereka ditanya pelbagai soalan tetapi mereka terlalu muda untuk memahaminya.

“Saya hanya mahu fokus kepada bola sepak dan apa yang berlaku ini adalah satu gangguan. Ia bukanlah apa yang saya mahukan ketika ini. Jadi bantulah saya dan berhenti menulis mengenai isu ini kerana ia memberi kesan kepada mentaliti pemain,” katanya.

Terdahulu, Jawatankuasa Tatatertib PBNP mengenakan penggantungan dua tahun daripada sebarang aktiviti bola sepak kepada pemain sayap itu selepas didapati bersalah melanggar terma kontrak dengan persatuan itu.

Pada sesi pendengaran perbicaraan kes Sumareh yang dipengerusikan Rizal Chek Hashim, sebanyak empat pertuduhan dikenakan terhadap Sumareh namun semua pertuduhan dijalankan serentak.

Dalam masa sama, pemain kelahiran Gambia itu mendedahkan dia berkemungkinan besar meraih penampilan pertama bersama Police Tero FC malam ini namun ‘gangguan’ yang dihadapinya bukanlah sokongan yang diharapkan daripada tanah airnya.

“Saya bersama pasukan untuk aksi menentang Suphanburi dan saya harap dapat beraksi buat kali pertama. Ini fokus utama saya ketika ini dan kalau anda mengenali saya, saya tidak pernah terbabit dalam kontroversi dan ini kali pertama ia berlaku kepada saya.

sumber : BH

“Sekarang, ia mengganggu tumpuan. Saya merayu supaya saya boleh fokus dengan apa yang saya mahu lakukan di sini,” katanya.