Mahu memiliki pasukan Liga M, pastikan perjanjian dibuat betul

Tidak salah jutawan kosmetik atau mana-mana hartawan mahu memiliki pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M).

Yang menjadi masalah adalah apabila perjanjian tidak dilakukan dengan betul, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Hamidin memahami kebimbangan orang ramai apabila nama jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman kembali dikaitkan dengan bola sepak tempatan kerana dia mempunyai sejarah kurang ‘molek’ bersama Kelantan.

Seorang lagi jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri yang mendapat perhatian Kedah juga pernah gagal dalam rundingan untuk menaja Lang Merah.

“Ini bukan soal dia jutawan kosmetik atau ahli perniagaan apa sekali pun, isu utama kalau mereka berminat nak jadi pemilik atau penaja utama, pastikan perjanjian dibuat betul-betul.

“Kami tidak pasti apa yang berlaku di antara Dr. Vida (Hasmiza) dan Kelantan dulu tetapi yang kami dengar, kerjasama tidak berjalan baik.

“Jadi, dalam persatuan ini ghairah mencari rakan kongsi atau pemilik baharu, mereka juga kenalah berhati-hati membuat rundingan.

“Dapatkan peguam terbaik buat perjanjian yang menguntungkan semua pihak, jadi bila seorang buat hal, mereka tak boleh lari. Bawa kes ke mahkamah,” kata Hamidin dalam pertemuan dengan media baru-baru ini.

Pada 2016, Dr. Vida menerusi syarikatnya, Vida Beauty memeterai perjanjian dua tahun bernilai RM16 juta bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Bagaimanapun perjanjian itu tidak berjalan baik dan diwarnai kontroversi sebelum beliau ­akhirnya berundur pada 2017.

Aliff menerusi D’Herbs Holdings pula bersetuju menaja Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) RM30 juta pada 2016 tetapi kemudian membatalkan perjanjian.

Dua minggu lalu, Dr. Vida menyatakan hasrat untuk memiliki pasukan dalam Liga M.

sumber : UM

Seminggu kemudian, KFA pula mengutus surat rasmi untuk berunding mengenai isu penajaan dan pemilikan dengan ­Aliff.