Mana boleh mula (liga) 5 Mac kalau 18 Februari (tamat PKP)

Pasukan Liga Malaysia (Liga M) akan berdepan masalah sekiranya hanya dibenarkan menjalani latihan selepas berakhir tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Februari ini.

Ia kerana semua pasukan hanya memiliki tempoh kira-kira 14 hari untuk mempersiapkan diri selepas sepak mula Liga M dijadualkan akan berlangsung pada 5 Mac.

Pengarah Teknikal Sarawak United, B Sathianathan berkata tempoh itu tampak tidak mencukupi untuk pasukan melakukan persediaan terutama dalam membentuk kecergasan dan keserasian pemain.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) berkata, pemain boleh berdepan risiko mengalami kec3deraan serius sekiranya tidak mendapat tahap kecergasan yang maksimum.

Justeru, katanya langkah terbaik untuk tetap memulakan liga pada 5 Mac adalah membenarkan pasukan menjalani latihan dalam tempoh terdekat bagi membolehkan persiapan lengkap dapat dilakukan.

“Mana boleh mula (liga) 5 Mac kalau 18 Februari (tamat PKP). Kita ada 13 atau 14 hari untuk berlatih,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

“Sekarang pemain buat latihan secara individu, tapi untuk dapatkan kecergasan yang penting mereka mesti berlatih bersama selepas itu mesti ada dua atau tiga perlawanan persahabatan baru boleh mula (liga).

“Untuk betul-betul serasi dan cergas, ambil (pasukan perlukan latihan bersama) 21 hari. Itu pun kurang. Ya, mesti dalam PKP (dibenar latihan kalau sepak mula liga pada 5 Mac).

“Berlatih sendiri tidak boleh buat apa-apa yang maksimum, sebab itu kita ada jurulatih kecergasan. Latihan di padang lain, semua lain dan inilah ramai orang tak faham.

“Kalau kita terlampau cepat masuk ke kejohanan kompetitif, tekanan perlawanan berbeza dengan perlawanan persahabatan. Bagi perlawanan sebenar yang kompetitif, jika tak sediakan diri sebaiknya, anda mudah mendapat kecederaan yang lama.”

sumber : BH

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dilaporkan memohon pertimbangan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan pasukan Liga M memulakan latihan minggu depan menjelang sepak mula liga pada 5 Mac.