Mengharapkan sokongan padu penyokong

KAPTEN Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar enggan mensia-sia kelebihan beraksi di pentas Piala AFC tahun ini dengan meletakkan sasaran awal layak ke pe­ringkat separuh akhir kejohanan berprestij kedua benua Asia itu.

Helang Merah diundi dalam Kumpulan H bersama Lions City Sailors FC dari Singapura, Saigon FC (Vietnam) dan salah satu daripada tiga pasukan playoff antara Persipura Jayapura (Indonesia), Visakha (Kemboja) atau Lalenok United (Timor Leste).

Baddrol, 32, mengakui, sai­ngan kali ini sangat mencabar kerana bukan sahaja diundi dalam kumpulan yang dianggap sengit tetapi­ bakal mengharungi Piala AFC 2021 dengan format karnival secara berpusat bermula 22 hingga 28 Jun depan.

“Lions City dan Saigon bertaraf tiga pasukan terbaik di negara masing-masing. Namun, saya sendiri bertekad akan berusaha sebaik mungkin untuk layak ke perlawanan akhir zon ASEAN dan seterusnya ke separuh akhir Piala AFC 2021.

“Kami perlu menganggap tahun ini adalah satu cabaran yang sukar kerana dimaklumkan akan beraksi di venue berpusat ­dengan tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari ini.

“Kami perlu kuat dari segi fizikal dan mental. Saya berharap para penyokong terus memberikan sokongan padu untuk kami membawa satu persaingan positif buat pasukan Kedah,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Bagaimanapun, laluan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak itu dilihat berliku kerana perlu menjuarai Kumpulan H, separuh akhir dan final zon ASEAN terlebih dahulu untuk muncul empat pasukan beraksi di separuh akhir playoff Inter-zon.

sumber : Konline

Helang Merah perlu berentap dengan pemenang dari rantau Asia Selatan, Asia Tengah dan Asia Timur dalam misi menjua­rai playoff Inter-zon untuk me­nempah pertemuan menghadapi juara benua Asia Barat di pentas final Piala AFC 2021.