Mereka Pasukan Profesional – Lee Tuck

Pemain import baru pasukan Pahang, Lee Tuck mendedahkan dia sememangnya sudah begitu lama menyimpan impian untuk menyarung jersi pasukan itu dan gembira hajat itu akhirnya menjadi kenyataan.

Lee Tuck berkata selepas dimaklumkan oleh pengurusan Terengganu FC bahawa kontraknya tidak disambung, dia telah menerima beberapa tawaran dari pasukan Liga Malaysia dan juga luar negara tetapi merasakan bahawa Pahang adalah pilihan paling tepat.

“Dalam fikiran saya skuad Pahang pasukan yang patut saya sertai kerana mereka sebuah pasukan profesional dan serius untuk mencapai kejayaan.

“Selain itu saya teringin mewakili Pahang ketika saya mula beraksi bersama Negeri Sembilan pada 2017 selain pernah menentang pasukan itu dalam saingan Piala FA, membuatkan saya memasang impian suatu hari nanti ingin menyarung jersi pasukan itu.

“Saya rasa mampu bermain di Pahang dan pastinya akan gembira kerana tempatnya yang menarik untuk saya tinggal dan ia bonus buat keluarga saya, malah penyokong mereka juga terbaik.

“Saya memandang ke depan untuk permulaan liga 2021 dan berharap dapat memberi impak yang positif kepada pasukan itu sebagaimana ketika mewakili TFC selama tiga musim,” kata Lee Tuck yang mengesahkan mengikat kontrak dua tahun bersama tok g@jah.

Pemain kelahiran England berusia 33 tahun itu menjelaskan keinginan untuk membantu pembangunan pemain muda adalah punca utama dia menandatanagani kontrak dua tahun malah jika diberi peluang dia mahu bermain dengan mereka untuk jangka panjang.

“Lagipun saya berminat untuk menjadi sebahagian daripada pasukan Malaysia, jika boleh menjadi pemain naturalisasi itu lebih baik kerana hanya semusim lagi untuk mencukupkan syarat selama lima tahun menjadi pemain berkenaan,” katanya.

Sebagai rekod, Lee Tuck mula bermain di Liga Malaysia pada 2017 bersama Negeri Sembilan dan selepas itu menyertai Terengganu FC selama tiga musim. Dia membantu pasukan itu muncul naib juara Piala Malaysia 2018 dan menduduki tangga ketiga Liga Super musim ini, sekaligus layak ke Piala AFC 2021.