Minta RM1 juta, TMJ anggap harga itu tidak masuk akal

Selepas beberapa tahun dikaitkan dengan perpindahan ke Johor Darul Takzim (JDT), pemain tengah Felda United, Danial Amier Norhisham akhirnya merealisasikan impian untuk menyarung jersi juara Liga Super tujuh kali itu.

Kemasukan pemain berusia 23 tahun itu ke dalam skuad H@rimau Selatan diumumkan sendiri oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu sidang media pada Rabu.

“Dia akan menyertai pasukan ini secara rasmi pada 1 Disember nanti. Saya ambil dia kerana boleh beri pendedahan terbaik kepadanya malah akan menyenaraikan pemain itu dalan skuad JDT bagi kempen Liga Juara Asia (ACL) musim depan.

“Membawa masuk Danial Amier adalah satu perancangan sekian lama tetapi FELDA United minta saya bayar RM1 juta untuk mendapatkannya. Saya anggap harga itu tidak masuk akal kerana dia pemain muda. Kami tunggu sampai kontrak dia habis. Itu yang saya buat,” kata Tunku Ismail.

Keinginan Danial Amier untuk bermain dengan JDT bukanlah rahsia.

Dia pernah beberapa kali menyatakan bahawa JDT adalah destinasi impian mana-mana pemain malah ketika perbincangan antara Felda United dan JDT menemui jalan buntu pada awal tahun ini disebabkan pertikaian mengenai harga, dia tetap optimis dengan mengatakan ‘jika ada rezeki takkan ke mana’.

Sementara itu, mengenai seorang lagi pemain baru iaitu Camilo Da Silva yang akan menggantikan penyerang Diogo Luis Santo, ini komen Tunku Ismail.

“Diogo akan bersama JDT bagi mengharungi kempen Piala Malaysia dan selepas itu dia akan kembali menyertai kelab di Thailand. Untuk kempen ACL, Fernando Rodriguez akan bersama pasukan JDT untuk saingan ACL di Qatar.

“Kami dah lama nak bawa dia (Camilo) ke JDT kerana corak permainannya sesuai dengan corak permainan JDT.

“Tapi akibat bajet saya kurang ketika itu maka terpaksa tunggu dua tahun sebelum semuanya diselesaikan selepas kontraknya tamat dan dia akan ke JDT musim depan,” kata Tunku Ismail.

Beliau turut mengesahkan pengendali JDT, Benjamin Mora, dilanjutkan kontrak selama dua tahun selepas berjaya menyerap falsafah permainan yang diinginkan.

“Kita boleh tengok daripada keputusan yang diraih JDT apabila Mora mengendalikan skuad. Malah beliau sentiasa menjaga kehormanian setiap pemain tatkala berada di bilik persalinan dan juga memberi ruang kepada pemain muda beraksi dalam skuad utama,” katanya.