Mungkin membenarkan pemain muda sahaja, bukan pemain Utama

Selangor FC bersedia untuk melepaskan mana-mana pemainnya untuk menyertai kem latihan secara kuarantin skuad kebangsaan yang dijangka bermula bulan ini.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon, berkata senarai pemain yang terlibat masih belum dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sambil berharap kem latihan itu tidak akan bertindih dengan jadual Liga Malaysia.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, Dr. Johan berkata: “Senarai pemain belum dikeluarkan secara ┬árasmi, jadi kami juga tidak dapat mengesahkan apa-apa.

“Sebelum ini, saya difahamkan bahawa jurulatih Tan Cheng Hoe mahu melihat dan mengenal pasti pemain muda tetapi saya rasa kali ini, dia mungkin mahu terus mengumpulkan pemain senior.

“Tetapi saya masih tidak pasti pendekatan yang akan diambil jurulatih Tan.

“Untuk kem latihan yang akan datang ini, berdasarkan persetujuan secara lisan di antara jurulatih Tan dan Michael (Feichtenbeiner), jika saingan liga ditunda ke tarikh yang lebih ke depan dan Selangor hanya dibenarkan untuk menjalani latihan tanpa sentuhan, dia (Feichtenbeiner) gembira untuk melepaskan semua pemainnya.

“Kem latihan itu dijangka akan berlangsung di antara hujung bulan ini hingga hujung bulan depan, jadi jika ada penundaan dalam jadual liga, kami tiada masalah untuk melepaskan kesemua pemain kami ke kem kebangsaan.

“Tetapi jika liga tidak ditunda, ia mungkin akan memberikan kami masalah.

sumber : SA

“Mungkin jurulatih Mike hanya akan membenarkan pemain muda menyertainya tetapi bukan pemain utama kami,” katanya.