Mungkin terlalu awal untuk bercakap mengenai prestasi Liridon

Liridon Krasniqi dilaporkan akan menyertai kem latihan pusat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 26 Januari ini, lapor Bernama.

Ini bermakna, pemain berusia 28 tahun itu berpeluang untuk mewakili negara buat pertama kali dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas menjadi warganegara Malaysia awal tahun 2020.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata Liridon dipilih untuk berlatih dengan skuad kebangsaan kerana komitmen yang ditunjukkannya.

Sama ada beliau dapat tempat dalam skuad kebangsaan atau tidak, ia bergantung kepada prestasi semasa pada kem latihan pusat atau penilaian dilakukan barisan kejurulatihan yang bertujuan untuk pastikan prestasi terkini beliau adalah terbaik untuk mewakili negara.

Mana-mana pemain terbaik negara sebelum ini pun dinilai semula oleh jurulatih pada kem latihan pusat, jadi perkembangan beliau akan dipantau sepanjang tempoh kem latihan dan berharap beliau dapat menyumbang sesuatu pada Mac nanti.

Jika terpilih, Liridon akan menjadi pemain naturalisasi kedua beraksi untuk skuad kebangsaan selepas Mohamadou Sumareh membuat penampilan pertamanya pada Oktober 2018.

“Mungkin terlalu awal untuk bercakap mengenai prestasi Liridon kerana tiada perlawanan skuad kebangsaan melibatkan beliau setakat ini,” kata Yusoff.

Tetapi kita yakin kehadiran beliau boleh membantu pasukan menjadi lebih baik.

Tan Cheng Hoe sendiri mengenali Liridon agak lama, jadi di situ mungkin ada sedikit kelebihan dari segi kombinasi mereka.

Beliau sudah faham permainan Liridon, jadi kita mengharapkan dengan adanya Liridon dalam pasukan ia akan memberi nilai tambah untuk skuad kebangsaan.