Musim depan tidak hanya akan terhenti setakat pertukaran (FA) kepada (FC) semata-mata

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan proses penswastaan pasukan yang bermula pada musim depan tidak hanya akan terhenti setakat pertukaran persatuan bola sepak negeri (FA) kepada pasukan bola sepak (FC) semata-mata.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata sebaliknya pertukaran status seperti dilakukan ketika ini hanya membabitkan tahap pertama sekali gus masih jauh perjalanan perlu ditempuh industri bola sepak di negara ini dalam usaha setaraf dengan negara bola sepak maju.

Katanya, proses pertukaran FA ke FC ini sebagai langkah pertama dalam pelan jangka masa panjang badan induk itu dengan dia berpuas hati dengan pencapaian tahap awal yang menyaksikan semua pasukan berjaya melengkapkan proses penswastaan.

“Kalau kita letak terlalu banyak halangan dan lapisan kriteria sehingga menyusahkan sistem, ditambah pula dengan situasi pandemik dan ekonomi ketika ini, saya rasa kita tidak boleh sampai ke tahap ini. Ini mungkin langkah pertama daripada 50 langkah kita untuk ke depan.

“Berdasarkan pengajaran selepas melihat negara lain, kita sememangnya masih jauh kalau hendak dibandingkan antara struktur FC di sini dengan penswastaan bola sepak di negara lain. Namun dari segi pendaftaran dan formalisasi, kita sudah boleh kejar mereka.

“Tetapi dari segi industri dan ekosistem bola sepak, kita belum lagi berada pada tahap itu. Sebab itulah semua pemegang taruh perlu bekerjasama bagi memastikan ekosistem bola sepak kita setaraf dengan apa yang diperlukan untuk kesinambungan FC ini.

“FC tidak boleh wujud tanpa ekosistem yang dapat membantu mereka. Kita akan fokus pada pemerkasaan struktur dan individu di FC dalam industri yang lebih berdikari selepas ini. Kami harap pendapatan dan hasil bola sepak akan menstabilkan industri kita dalam jangka masa panjang,” katanya.

Sebagai rekod, FAM mengesahkan semua 21 pasukan berjaya melengkapkan penswastaan FC bersyarikat masing-masing yang turut merangkumi proses pemisahan dari FA ke FC.

Proses penswastaan ini juga perlu dilakukan oleh semua pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) supaya mereka dibenarkan beraksi pada saingan peringkat Asia membabitkan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC sekiranya layak beraksi.