Nasib Penerima Anugerah PUSKAS

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu itulah peribahasa yang sesuai dalam kes Mohd Faiz Subri apabila memenangi anugerah PUSKAS pada tahun 2016 mengenepikan bintang bola sepak terkemuka dunia seperti Neymar dan Lionel Messi.

Pada ketika itu, tiada siapa mengenali Mohd Faiz Subri namun namanya menjadi bualan hangat seantero dunia apabila sepakan sudut penaltinya viral hingga menyebabkan beliau memenangi anugerah tersebut.

Namun begitu, langit tidak selalunya cerah apabila Faiz Subri selepas itu menganggur hampir 3 tahun kerana tiada persatuan sukan yang menginginkan khidmatnya sebagai pemain bola sepak.

Beliau dikatakan mula menceburi bidang perniagaan minyak wangi bagi menampung hidupnya. Baru-baru ini saya difahamkan, Faiz Subri dilamar oleh negara Hungary untuk menjadi jurulatih teknikal bagi sukan teqball.

Bakat beliau seolah-olah hanya dihargai di negara luar dan dipandang sepi di negara sendiri. Keadaan ini memperlihatkan betapa tempangnya pengurusan bola sepak negara, hari ini juga kita masih mendengar isu persatuan sukan bola sepak negara mempunyai masalah pembayaran gaji tunggakan para pemain.

Tidak hairanlah Malaysia sentiasa kehilangan atlet berbakat, pengurusan sukan menunjukkan kepincangan dan gagal menggunakan bakat sedia ada sebaiknya. Jika begini pengurusan bola sepak negara bagaimana kita mahu mengangkat kembali bola sepak negara di persada dunia? 

Penulis : Yuslaini Azmi