Norizam tidak berminat, sebaliknya beri tumpuan kepada TRW dan kelab bakal dibelinya di Indonesia

Saya tak berminat untuk ambil alih kerusi nombor satu Liga Bolasepak Malaysia (MFL).”

Itu reaksi pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang mahu memberi tumpuan kepada pasukannya ketika ini termasuk kelab yang bakal dibelinya nanti di Indonesia.

Norizam atau lebih dikenali dengan Zamsaham berkata, beliau tidak mahu menimbulkan isu berbangkit atau dikatakan pilih kasih berikutan pemilikannya terhadap Kelantan FC.

Katanya, ketika ini beliau ‘bahagia’ menguruskan Kelantan FC seterusnya mahu memastikan kelab itu meraih pelbagai kejayaan pada masa akan datang.

“Pada ketika ini saya tidak mahu menimbulkan isu berbangkit hingga akan mencetuskan rasa tidak puas hati pihak tertentu kemungkinan ada tindakan pilih bulu.

“Ketika ini, lebih baik saya menumpukan beberapa perkara terutama untuk mengambil alih kelab bola sepak Indonesia yang kini berada di fasa akhir,” katanya.

Arena Metro hari ini melaporkan bahawa timbul persoalan hangat dikalangan penggiat industri bola sepak negara bahawa siapa yang layak mengambil alih kerusi nombor satu MFL selepas presidennya ketika ini Datuk Hamidin Mohd Amin meletak jawatan.

Boleh dikatakan beberapa nama mula menjadi sebutan mengisi kekosongan jawatan berkenaan berdasarkan kemampuan kewangan, pengaruh dalam sektor ekonomi dan juga minat mereka melabur dalam industri bola sepak.

Pemerhati bola sepak tempatan Mohd Sadek Mustafa berpendapat ketika ini hanya tiga individu sesuai untuk mengisi jawatan terbabit iaitu pemilik Cardiff City dan kelab Belgium, KV Kortrijk Tan Sri Vincent Tan; pemegang saham kelab Queens Park Rangers (QPR) Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah dan pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman.

sumber : HM

Beliau berkata, tiga individu berkenaan dilihat mempunyai pengaruh dalam bidang perniagaan selain cukup berminat untuk melabur jutaan ringgit dengan memiliki kelab bola sepak.