Normal kalau kena ‘pulau’ rakan sepasukan – Hidetoshi Nakata

Pemain sayap negara, Safawi Rasid mungkin sudah pulang ke tanah air, tetapi tiada siapa tahu apa yang dilaluinya di sana dan adakah ia sama seperti Hidetoshi Nakata?

Sehingga kini Safawi Rasid belum meluahkan mengapa beliau hanya melalui tempoh pinjaman yang singkat di kelab Portimonense SC yang bersaing di Primeira Liga, Portugal.

Kemungkinan besar, kepulangan Safawi Rasid lebih awal daripada yang sepatutnya berpunca daripada perkhabaran pemain tengah, Keisuke Honda yang dilihat semakin hampir untuk menyertai Portimonense SC selepas meninggalkan Botafogo.

Kenapa sama seperti Hidetoshi Nakata?

Lagenda Jepun, Hidetoshi Nakata ada berkongsi tentang penghijrahan pertamanya ke Eropah. Ia berlaku selepas Piala Dunia 1998 yang berlangsung di Perancis.

Jepun kalah dalam semua perlawanan peringkat kumpulan, tetapi aksinya berjaya menarik perhatian kelab-kelab di Eropah. Dalam beberapa kelab yang melamarnya, beliau telah memilih sebuah kelab yang baru meraih tiket ke Serie A, Perugia.

Mengapa? Katanya dalam temuramah tersebut, “Perkara pertama adalah saya memikirkan adakah saya akan bermain. Sebagai pemain bola sepak, menjadi pilihan utama atau tidak, ada banyak perbezaannya. Saya pula datang jauh dari Jepun.”

“Apabila saya datang ke Itali, perkara paling sukar bukanlah perbezaan tahap permainan. Apabila orang Itali nampak pemain Jepun, ketika itu, mereka bercakap tentang tajaan [ke Itali] dan bukanlah tentang permainan saya,” jelasnya.

Tambahnya lagi, “Tidak kira sekuat mana saya berlatih atau beraksi dengan baik, mereka melihat saya hanya sebagai ‘sebuah’ publisiti. Saya tidak katakan yang media itu ‘jahat’ tetapi mereka yang membuat orang memandang saya seperti itu.”

Normal kalau kena ‘pulau’ rakan sepasukan

Beliau juga ada berkongsi bagaimana kesan ‘publisiti’ itu membuatkannya disisih rakan sepasukan. Ujarnya, “Mereka tidak akan hantar bola kepada saya dan ianya normal. Dan jika saya tidak dikawal sekalipun, mereka akan menghantar kepada yang lain.”

“Ketika itulah saya terfikir, saya tidak boleh tunggu hantaran sampai. Saya perlu mencarinya dan membuat percubaan. Itu yang saya ‘set’ dalam minda saya. Perubahan suasana di Itali adalah untuk saya membesar [sebagai pemain].

Adakah Safawi Rasid melalui situasi yang sama. Rasanya tidak. Ini kerana, jika dilihat, Safawi Rasid masih kelihatan okay bersama rakan sepasukan. Namun, situasi sebenar di sana, kita tidak tahu. Cuma mungkin pengurusan mahu memberikannya masa.

Namun, teletah para penyokong Malaysia ‘menyerang’ Facebook Portimonense SC bagai tiada siang esoknya, mungkin sedikit sebanyak mencemar reputasi Safawi Rasid. Beliau bukanlah bintang besar dan pernah beraksi di Piala Dunia sebagaimana Hidetoshi Nakata. Piala Asia pun kita belum pernah jejak, jadi siapalah Safawi Rasid.

Mungkin, disebabkan itu juga, disebalik khabar tentang Keisuke Honda, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengambil keputusan memanggilnya pulang. Lebih lama Safawi Rasid di sana, mungkin mereka risau, situasi boleh menjadi buruk angkara ‘serangan’ tersebut.

JDT silap percaturan hantar ke saingan Eropah?

Adakah terlalu awal untuk Safawi Rasid melangkah ke Eropah? Walaupun ianya kelab kecil, namun mereka bersaing di liga utama. Jikalau Hidetoshi Nakata pun susah untuk diterima pada awalnya, begitu jugalah Pemain Paling Bernilai, Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2018 dan 2019 itu. Mungkin sedikit lebih masa diperlukan.

Mungkin percaturan terbaik adalah dengan menghantarnya ke liga sekitar Asia dahulu. Kalau bukan Korea Selatan, mungkin Jepun. Lihat bagaimana Thailand ‘mengeksport’ pemain-pemain mereka ke J-League hanya bermula dengan seorang pemain, secara pinjaman. Kini, sudah ada beberapa pemain mereka telah bertapak di sana.

Jika skuad kendalian Tan Cheng Hoe berjaya melangkah ke Piala Asia 2023, peluang buat pemain Malaysia dilamar kelab-kelab di sekitar Asia bakal lebih terbuka. Dan diharapkan ketika itu, pasukan-pasukan akan bersedia untuk melepaskan mereka.

Terbaharu, seperti didedahkan Soccer Stoppage Time, JDT bakal meminjamkan Liridon Krasniqi dan Syahiran Abimanyu ke A-League bersama Newcastle Jets.

Mungkin itulah yang terbaik kerana standard A-League tidaklah terlalu jauh berbanding Malaysia. Jadi, adakah Safawi Rasid juga bakal mengikut langkah seperti dua rakan sepasukannya, dipinjamkan keluar, atau hanya terus menggegar Liga Malaysia?