Orang pertama yang akan tahu ialah pasukan JDT dan penyokong – TMJ

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim seolah-olah memberi bayangan beliau masih belum mengibarkan ‘bendera putih’ meskipun sebelum ini Presiden Valencia CF, Anil Murthy menegaskan bahawa kelab LaLiga itu bukan untuk dijual.

Menerusi ciapan terbaharu Tunku Ismail, beliau mengakui sudah merangka pelan dan strategi pemulihan sekiranya berjaya mengambil alih kelab itu.

Jelasnya, misi dan visi utama adalah untuk menarik semula kepercayaan penyokong selain memastikan Valencia kembali bersaing merebut kejuaraan dan trpfi.
“Saya mempunyai ramai kawan dalam bola sepak. Tetapi tiada siapa yang mengetahui pelan dan niat saya. Orang pertama yang akan tahu ialah pasukan saya, dan juga penyokong.

“Penyokong berhak tahu kerana kelab ini milik anda. Saya boleh memiliki pegangan, tetapi kelab tetap milik penyokong. Saya hanya sekadar sebagai penjaga. Ia adalah pendapat peribadi dan mengenai prinsip, terutama sebagai orang asing dan jika saya memiliki pegangan.

“Tanggungjawab saya ialah untuk memastikan kelab ini memberikan cabaran pada tahap terbaik kerana kelab ini kaya dengan sejarah dan patut berada di kedudukan sepatutnya, agar rakyat di bandar ini boleh rasa bangga,” tulisnya di ciapan twitter miliknya.

TMJ yang juga pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menambah, beliau berhajat untuk mendapatkan Valencia bukan sekadar mahukan cabaran baharu tetapi lebih daripada itu atas kecintaan dalam bola sepak.

“Pertama, saya bukan seorang ahli perniagaan. Mengapa perlu saya membazir wang dan membelanjakan ia di negara asing. Jika saya melakukannya, ia adalah kerana cabaran dan juga projek yang saya percaya boleh dilakukan.

“Semangat sejati, kerana kecintaan terhadap sukan ini, dan kesungguhan sebenar. Tiada unsur politik, tiada perkara mengarut,” katanya.

Sebelum ini, terdapat spekulasi bahawa TMJ mahu membeli Valencia, malah berita itu turut menjadi topik hangat yang dimainkan media di Sepanyol.

Spekulasi pembelian itu dilihat tidak mustahil memandangkan TMJ memiliki hubungan yang rapat dengan pemilik kelab Valencia, Peter Lim yang juga ahli perniagaan terkenal Singapura.

sumber : HM

Begitupun, Anil pada minggu lalu menafikan kelab berkenaan untuk dijual ketika seluruh penyokong skuad The Bats itu menuntut perubahan dan mahu Peter Lim meninggalkan pasukan itu.