Pahang Tolak permohonan MFL

Sekalipun jika Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan penganjuran Piala Malaysia di venue hijau, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tetap berdepan kesukaran untuk meneruskan perlawanan selepas Pahang tidak memberi kebenaran baki saingan diadakan di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pahang menolak permohonan MFL setelah berbincang serta mendapat nasihat daripada pelbagai pihak termasuk MKN negeri.

Keputusan ini juga selari dengan pengumuman Menteri Kanan (K3selamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menolak permohonan MFL kepadanya berhubung perkara yang sama.

Kerajaan negeri berpendapat, sungguhpun Pahang berada dalam Zon Hijau tetapi usaha pembendungan penvlaran w@bak C0vid-19 perlu terus dilakukan dan penganjuran perlawanan bola sepak tersebut mungkin boleh menjejaskannya, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, beliau berharap semua pihak khususnya MFL, dapat menerima keputusan itu.

Keputusan ini dibuat demi menjaga dan memelihara kesihatan awam, insya-Allah, katanya.

Baru-baru ini, rayuan MFL untuk meneruskan Piala Malaysia secara berpusat di Kelantan dan Pahang tidak dibenarkan oleh kerajaan Pusat. Kedua-dua negeri tidak mempunyai wakil di suku akhir kerana sudah tersingkir awal.

Ismail Sabri berkata, biarpun ada mendengar rayuan daripada pasukan-pasukan bertanding, namun beliau tidak boleh berkompromi dalam soal keselamatan dan kesihatan.

Katanya, beliau tidak mengarahkan kejohanan bola sepak tertua di Asia Tenggara itu dibatalkan, sebaliknya hanya ditunda.

Bagaimanapun hari ini MFL mengumumkan Piala Malaysia yang sepatutnya memasuki peringkat suku akhir esok terpaksa dibatalkan.

Badan itu tidak boleh menangguhkan lagi kejohanan kerana ia akan membebankan persatuan yang kerugian berjuta ringgi gara-gara terpaksa membayar tambahan gaji pemain.