Peluang melonjak satu anak tangga

Selangor FC boleh mendaki sekurang-kurangnya satu lagi anak tangga ke kedudukan keempat Liga Super sekiranya berjaya men3waskan Sabah FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Kedudukan keempat ketika ini dihuni Penang FC dengan hanya dibezakan dua mata dari Selangor di tangga kelima dan skuad Red Giants memiliki peluang untuk berada dalam kelompok empat teratas apabila Penang akan berdepan Sri Pahang, malam esok.

Malah, skuad kendalian Karsten Neitzel itu juga mempunyai peluang merampas kedudukan ketiga dari Kedah Darul Aman FC (KDA) dengan syarat Helang Merah tewas sekurang-kurangnya dengan tiga gol tanpa balas kepada Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Darul Aman.

Selain mengintai peluang untuk memperbaiki kedudukan, Neitzel juga sudah pasti mahu melakar kemenangan hatrik selepas berjaya menewaskan Perak dan Melaka United dalam dua aksi terakhir sebelum ini.

Pengendali dari Jermain itu bagaimanapun menuntut anak buahnya tidak memandang mudah terhadap kemampuan Sabah walaupun lawan mereka berada di kedudukan kelapan liga.

“Apa yang saya belajar selepas beberapa bulan di Malaysia, ia bukan perlawanan mudah (menentang Sabah), sebelum ini Sabah beraksi dengan baik berdepan UiTM dan kami perlu berhati-hati.

“Sudah pasti kami perlu fokus kepada persembahan kami, itu perkara paling penting. Mempertingkatkan apa yang kami boleh lakukan,” kata Neitzel.

Sementara itu, KDA pula dianggap memiliki peluang cerah untuk merampas kedudukan kedua dari Terengganu FC (TFC) selepas skuad Penyu hanya akan beraksi, esok menentang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

sumber : BH

Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu kini mengumpul 17 mata selepas mengharungi sembilan perlawanan dan hanya satu mata di belakang TFC.