Pemain Garuda Muda disambar Har!mau Selatan

Kelab Bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menandatangani pemain bawah 23 tahun Indonesia, Syahrian Abimanyu untuk pasukan itu pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Sebelum ini pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan pasukan itu akan mendapat khidmat pemain Indonesia yang menjadi perancangan projek jangka masa panjang kelab.

Dalam kenyataan yang dimuat naik oleh laman rasmi Johor Southern Tigers, tidak dinyatakan sama ada pemain kelahiran Banjamegara, Indonesia berusia 21 tahun itu akan menyertai JDT atau JDT II.

Bekas pemain Madura United itu memulakan karier bola sepak bersama SSB Mandiri Jaya Bogor dan Akademi Bolasepak Jakarta.

Dia juga pernah mendapat pendedahan di Sepanyol bersama Atletico Levante pada tahun 2016 hingga 2017 ketika berusia 17 tahun dan kembali ke Indonesia untuk menyertai kelab Liga 1 Indonesia, Persija Jakarta.

Pada musim 2018, Syahrian menyertai kelab Sriwijaya selama semusim dan kelab terakhir sebelum menyertai JDT adalah Madura United dengan 20 penampilan.

sumber : BH

Dia juga memiliki pengalaman beraksi bersama pasukan remaja bawah 16 dan 19 tahun Indonesia dan masih bersama skuad bawah 23 tahun negara itu.