Sukan

Pemain import dari Brazil dan Afrika, bagai pisang goreng panas

Pemain import dari Brazil dan Afrika bagai pisang goreng panas apabila bakal menjadi sasaran utama pasukan-pasukan Liga Malaysia (Liga M) sebagai persediaan mereka mengharungi saingan musim hadapan.

Pengarah Urusan Action Football Asia Sdn. Bhd., Effendi Jagan Abdullah berkata, antara faktor mereka menjadi pilihan kerana mempunyai fizikal yang sasa dan harganya agak murah berbanding pemain import daripada negara lain.

“Brazil dan Afrika antara pemain import pilihan dalam pasukan Liga Malaysia. Bukan mahu merendahkan mereka tetapi antara sebab utama kerana harga agak murah.

“Selain itu, jurulatih suka pemain dari Afrika sebab mereka lebih lasak, keras dan jarang mengalami kecederaan. Brazil pula lebih kepada skill individu dimiliki pemain dari sana,” ujarnya kepada Utusan Malaysia, semalam. .

Tambahnya, purata gaji pemain import di Malaysia secara umumnya dalam lingkungan AS$10,000 (RM40,860) bagi Liga Super manakala Liga Perdana dalam AS$6,000 hingga AS$7000 (RM24,000-RM28,000).

“Tapi saya rasa untuk musim depan, pemain import yang menikmati gaji dalam AS$10,000 ketika ini mungkin terpaksa menerima pengurangan gaji lebih 30 peratus jika mahu terus bermain atau terpaksa berhijrah ke liga lain,” katanya.

Liga M 2021 akan membuka tirai dengan aksi Piala Sumbangsih antara juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah pada 26 Februari.

sumber : UM

Kedah dipilih mengisi slot Piala Sumbangsih sebagai status naib juara Liga Super susulan tiada pemenang Piala FA dan Piala Malaysia susulan ia dibatalkan berikutan pandemik C0v!d-19.