Pemain Kedah pejuang sebenar, Sekalipun pernah beraksi dalam keadaan ‘poket kosong’ akhirnya ke piala AFC 2021

“Bola sepak memang sukar dipercayai!”

Itu kata-kata pemain tengah, Cesc Fabregas apabila Chelsea menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim 2016-17 di bawah kendalian Antonio Conte selepas The Blues menamatkan saingan di tangga ke-10 musim sebelumnya.

Mungkin itulah apa yang dipanggil keajaiban bola sepak dan perkara sama sekali lagi dapat disaksikan di Stadium Perak, kelmarin selepas Kedah berjaya mengesahkan tempat selaku naib juara Liga Super musim ini sekali gus mendapat tiket ke Piala AFC 2021 musim depan.

Ia jelas bukanlah satu perjalanan yang mudah buat skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak itu terutama selepas berdepan ‘musuh dalaman’ apabila dibelenggu masalah tunggakan gaji lima bulan sebelum diselesaikan secara berperingkat pengurusan baharu Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Ketika masalah tunggakan gaji itu dianggap akan ‘membunuh’ Kedah, namun mereka membuktikan sebaliknya apabila tidak menjadikan perkara itu sebagai masalah dan terus fokus terhadap komitmen masing-masing di atas padang.

Akhirnya, gelaran naib juara dan slot ke Piala AFC 2021 menjadi habuan buat Lang Merah sekalipun sebelum ini pernah beraksi dalam keadaan ‘poket kosong’.

“Syukur dan kredit perlu diberikan kepada pemain, pegawai, presiden yang datang memberikan sokongan. Tidak lupa juga kepada keluarga pemain yang sentiasa bersama walaupun kita mengharungi detik sukar sebelum ini.

“Pemain tahu inilah yang mereka mahukan selepas sudah lama Kedah tidak berada pada kedudukan kedua dalam liga. Saya katakan kepada mereka, letakkan segalanya pada hati dan jiwa kamu untuk keluarga dan penyokong yang sedang menunggu.

“Saya bertuah kerana sebelum ini, kami ke ‘play-off’ Liga Juara-Juara dan pada musim depan, kami akan beraksi di Piala AFC. Alhamdulillah, ini semua usaha keras semua pihak yang terbabit.

“Pengurusan sememangnya melakukan tugas dengan baik. Kredit kepada mereka kerana menjadikan atmosfera pemain bertambah baik kerana inilah yang diperlukan oleh pemain,” kata Aidil.

sumber : BH

Sebagai rekod, Kedah menamatkan saingan dengan tujuh kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan selain meledak 20 gol dan dibolosi 13 gol dalam 11 perlawanan untuk menghimpun 22 mata, tujuh mata ketinggalan di belakang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT).