Pemain muda Harus contohi Keon – Aidil

Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mahu pemain muda mencontohi jasa yang dicurahkan oleh bekas kapten, Khairul Helmi Johari dalam membantu skuad Kedah mencapai kegemilangan seterusnya pada masa akan datang.

Semangat perjuangan dan bakti yang ditampilkannya selama berbakti 14 tahun sejak 2007 hingga 2020 bersama Kedah disifatkan sebagai seorang yang akan dikenang dalam sejarah bolasepak Kedah.

Mengulas lanjut mengenai pemain kebanggaan Kedah berusia 32 tahun yang tidak akan bersama pasukan bermula musim depan itu, Aidil mengakui peranan dimainkannya bersama skuad Hijau Kuning boleh memberi manfaat buat seluruh generasi muda Kedah.

“Saya mengagumi usaha, bakat dan sikap yang ditonjolkannya sebagai pemain pertahanan yang berjasa untuk Kedah dan saya berharap dia akan terus menjadi contoh terbaik buat pemain pertahanan muda seperti Lokman Hakim, Zulkhairi Zulkepli dan ramai lagi.

“Banyak perkara yang boleh dipelajari dari pengalaman yang dikutip Khairul Helmi sepanjang kariernya bersama Kedah dan pada saya dia umpama pemain pertahanan kebanggaan Itali, Fabio Cannavaro.

“Dia bijak membaca gerakan lawan dan pemain yang tangkas menghalang serangan berbahaya dalam mempertahankan gawang,” katanya.

Aidil juga berkata selain ketangkasannya, Khairul Helmi juga dikagumi kerana memiliki sifat kepimpinan yang diperlukan dengan pengalaman luas beliau sebagai seorang kapten suatu ketika dahulu.

“Khairul memiliki aura kepimpinan dan dia buktikan dalam banyak kejayaan lalu bersama Kedah. Sebab itu saya bangga dengannya dan saya harap walaupun tidak akan bersama pasukan untuk musim depan, jasa dan pengorbanannya tetap akan dikenang.

“Saya dengan ikhlas ingin mengucapkan selamat maju jaya buatnya dan semoga Khairul terus berjaya dalam usaha yang akan dilakukan seterusnya,” katanya.

sumber : HM

Sepanjang bersama Kedah, Khairul Helmi yang sinonim dengan jersi nombor 13, mengecapi kejayaan memenangi 12 piala.