Pemain Sabah FC boikot sesi latihan

Sesi latihan skuad Sabah Football Club (FC), petang tadi, terbatal dipercayai ada kaitan dengan isu gaji pemain yang dikatakan tertunggak dua bulan.

Sumber dalam pasukan berkata, latihan sepatutnya bermula jam 4 petang namun selepas perbincangan hangat di kalangan pemain dan barisan kejurulatihan, sesi berkenaan kemudian dibatalkan.

”Sepatutnya latihan seperti biasa bermula jam 4 petang, saya kurang pasti apa sebenarnya berlaku dan kenapa ianya (latihan) dibatalkan tapi memang ada kaitan dengan isu gaji.

Gambar tular di media sosial apabila pemain dikatakan boikot sesi latihan. FOTO Ihsan pembaca

”Kemungkinan juga ada sedikit salah faham kerana kami dimaklumkan semua pemain akan dibayar gaji esok tapi mungkin ada pemain yang sudah tidak sabar kerana banyak kali dijanji,” katanya ketika dihubungi.

Kata sumber itu lagi, sesi latihan hari ini adalah yang terakhir di Kota Kinabalu sebelum mereka berlepas ke Pulau Pinang esok untuk aksi Liga Super, Ahad ini.

Kejadian pemain Sang Badak memboikot latihan itu turut tular di media sosial apabila kebanyakan Facebook penyokong pasukan itu memuat naik ciapan berkenaan isu terbabit.

Sementara itu, pengurus pasukan, Ahmad Marzuki Nasir dalam menerusi Facebook berkata, pihak Sabah FC akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu esok.

sumber : HM

”Bertenang saja, tiada individu yang lebih besar dari Sabah FC, esok baru kita akan buat kenyataan,” katanya.