Penantian Terengganu FC berakhir

Penantian peminat setia pasukan bersaudara, Terengganu FC (TFC) dan Terengganu FC II (TFC II) untuk mendapatkan jersi baharu pasukan kesayangan mereka tertunai selepas Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd melancarkan jersi dua pasukan itu malam tadi.

Berkonsepkan warna keramat bendera Terengganu, corak dan reka bentuk jersi skuad berkenaan membabitkan aksi di laman sendiri turut sinonim dengan bendera negeri iaitu hitam putih manakala warna merah hat! dipilih membabitkan aksi di stadium lawan.

Warna hitam pula dipilih sebagai jersi ketiga dan paling istimewa yang dinantikan peminat ialah jersi Piala AFC edisi terhad yang bakal dikeluarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, dua pasukan bersaudara itu sudah bersedia sepenuhnya untuk mengharungi saingan Liga Super dan Perdana musim ini.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan persiapan rapi pasukan termasuk pemilihan pemain import baharu dan pemain tempatan adunan pemain muda serta berpengalaman.

Mengekalkan ketua jurulatih, Nafuzi Zain dan dibantu barisan penolong jurulatih serta jurulatih kecergasan daripada Bosnia, Slobodan Klacar, ia dijangka mampu memberi !mpak lebih baik kepada prestasi dua pasukan itu berbanding musim lalu.

TFC Sdn Bhd menghargai komitmen rakan penaja dan melahirkan penghargaan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebagai penganjur dalam membantu pasukan termasuk TFC Sdn Bhd sama ada dalam bentuk kewangan, kemudahan sukan, teknikal mahupun pengurusan.

Hasil perkongsian bersama MFL, ia banyak membantu melancarkan pengurusan untuk menjadi sebuah kelab profesional ke arah kecemerlangan bola sepak Malaysia apatah lagi TFC bakal bersaing dalam kancah Piala AFC musim ini, katanya ketika merasmikan majlis Memperkenalkan Jersi dan Pemain secara dalam talian.

sumber : BH

TFC bakal membuat perhitungan pertama dengan pasukan UiTM, Sabtu ini di Stadium UiTM Shah Alam manakala pasukan adik menanti kunjungan pendatang baharu, Skuad Projek FAM-MSN juga pada hari sama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu.