Sukan

Pendatang baru Liga Super bukan pasukan kerdil

Pendatang baru Liga Super Penang FC semestinya mengharapkan tahun 2021 akan menjadi musim terbaik seperti mana yang dicapai pada tahun lalu apabila berjaya menjuarai saingan Liga Perdana 2020 sekali gus layak ke Liga Super musim ini.

Berikutan itu, Penang FC dalam usaha merangka skuad terbaik dengan kemasukan pemain import dan tempatan berkualiti untuk memperkuatkan pasukan sekali gus boleh dianggap sebagai ‘p3mbunvh’ pasukan gergasi nanti.

Perubahan awal yang dilakukan adalah dengan kemasukan ketua jurulatih baharu dari Republik Czech, Tomas Trucha bagi menggantikan Manzoor Azwira yang tidak mempunyai Lesen Pro A untuk terus membimbing Penang FC pada musim ini.
Jelasnya, mengendalikan pasukan baharu dengan tempoh masa yang terhad ketika ini menyaksikan cabaran sebenar yang dihadapi oleh semua jurulatih dan mereka perlu hadir menerusi pelan terbaik supaya semua pemain dapat bersedia sepenuhnya menjelang sepak mula pada 6 Mac depan.

Selepas mengharungi tiga aksi persahabatan, Trucha menjelaskan keutamaan sekarang adalah bukan mencari kelemahan di mana-mana bahagian dalam pasukan selepas perlawanan, tetapi apa yang penting adalah untuk memahami karakter anak buahnya di atas padang.

Dengan kehadiran pemain baharu antaranya pemain import, Ryuji Utomo (Persija Jakarta, Indonesia) dan Sheriddin Boboev (FC Istiklol, Tajikistan), pasukan itu semestinya mengharapkan gandingan yang mantap daripada mereka bersama tiga lagi pemain import yang dikekalkan iaitu penjaring terbanyak Liga Perdana 2020, Casagrande, Endrick dos Santos dan Rafael Vitor.

Manakala pemain tempatan pula tumpuan turut diberikan kepada pemain muda dari Kelantan, Danial Ashraf Abdullah yang akhirnya berhijrah selepas empat musim berbakti di negeri kelahiran sejak tahun 2016.

Dia yang pernah beraksi bersama H@rimau Muda menjaringkan 3 gol dalam 10 penampilan bersama Kelantan pada musim lalu (termasuk 2 gol dalam Piala Malaysia sebelum saingan itu dibatalkan) dan dijangka mampu untuk memberi sentuhan berbeza dalam menggerakkan jentera tengah pasukan.

Namun, Trucha menegaskan setiap pemain yang ada memegang peranan cukup penting di setiap bahagian dan Danial menjadi sebahagian daripada itu untuk terus cuba mencuri perhatian merebut peluang berada dalam kesebelasan utama musim ini.

“Setiap pemain memang penting untuk saya dan tiada seorang pun yang senang mendapat peluang dalam kesebelasan utama tanpa membuktikan kemampuan mereka.

“Danial juga adalah sebahagian daripada pasukan dan baik dia atau pemain-pemain lain, mereka perlu rebut peluang sebaiknya untuk saya nilai siapakah antara mereka yang mampu galas tugas dalam skuad utama,” katanya.

Selain Danial, Penang FC turut mengumumkan beberapa pemain lain iaitu Quentin Cheng (Selangor 2), Azwan Aripin (Kelantan), Khairul Asyraf Ramli (Kelantan), Fadhil Idris (Felda United FC), C. Suwarna Raj (Perak II), D. Saarvindran (Terengganu FC), Shafiq Afifi Suhaimi (Perak II), penjaga gol, See Tian Keat (PDRM) selain Jafri Firdaus Chew dan David Rowley (Kedah).

sumber : HM

Penang FC akan menerima kunjungan Kuala Lumpur United FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang dalam aksi Liga Super pada 6 Mac depan.