Penyokong nakal langsai Hutang tiket

“SAYA dah tak mahu ambik pitih (wang) penyokong tu kerana sudah terlalu lama, tapi dia begitu bersungguh-sungguh nak bayar kerana rasa menyesal atas kesilapannya lalu.

“Jadi saya dengan berat hati terpaksa menerima pitih sebanyak RM30, katanya untuk tiga perlawanan dulu,” kata kakitangan di Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang enggan mendedahkan namanya.

Terdahulu seorang penyokong bola sepak Terengganu hadir ke pejabat PBSNT pagi tadi untuk membayar duit tiket perlawanan membabitkan aksi skuad Penyu itu pada 2010 dan 2011 yang ketika itu dibimbing Irfan Bakti Abu Salim.

Lelaki berusia lingkungan 30-an itu berbuat demikian selepas rasa menyesal kerana masuk ke dalam stadium menyaksikan perlawanan dengan memanjat pagar.

Kakitangan itu berkata, pada dua minggu lalu, peminat itu sudah datang ke PBSNT untuk memulangkan duit tiket namun pihak yang sepatutnya lelaki itu berurusan tidak ada di pejabat ketika itu.

“Jadi 9.30 pagi tadi, peminat itu datang sekali lagi menyatakan hasratnya untuk membayar duit tiket membabitkan tiga perlawanan.

“Peminat itu memaklumkan sebelum ini dia nakal selain tiada wang ketika itu untuk menyaksikan perlawanan menyebabkan dia sanggup panjat pagar kerana begitu sayang dengan pasukan negeri,” katanya.

Sementara itu, Ahli Eksekutif PBSNT, Haslan Hashim memuji tindakan lelaki itu yang sanggup datang ke pejabat untuk membayar semula harga tiket yang ketika itu berjumlah RM10 sekeping bagi tempat duduk biasa.

“Sikap terpuji dan jujur lelaki itu yang menyesali kesilapannya boleh dijadikan panduan kepada peminat lain walaupun sudah hampir 10 tahun berlalu, tapi peminat itu sudi tampil membayar semula jumlah harga tiket.

sumber : HM

“Mungkin peminat itu begitu teruja menyaksikan pemain Terengganu beraksi apatah lagi pada 2011 Terengganu muncul juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia selain penyerang, Mohd Ashari Samsudin muncul pemenang Kasut Emas pada 2010 dengan meledak 18 gol dan Abdul Hadi Yahaya setahun kemudian dengan mencetak 20 gol ,” katanya.