Penyokong safawi dikecewakan lagi

Penantian penyokong Malaysia yang sanggup bersengkang mata berakhir dengan kekecewaan selepas Safawi Rasid sekali lagi tidak diturunkan ketika bertemu Porto, awal pagi tadi.

Meskipun peny3rang kebangsaan itu disenaraikan buat kali pertama di bangku simpanan Portimonense SC, rezeki jelas masih lagi belum berpihak kepada pemain itu untuk meraih penampilan sulung bersama skuad utama di bumi Eropah.

Apapun situasi ini seharusnya tidak mematahkan semangat Safawi untuk terus bekerja keras dalam sesi latihan dan cuba mengintai peluang bagi perlawanan yang seterusnya.

Penyokong bola sepak tempatan juga diharapkan bersikap lebih matang dan tidak ‘meny3rang’ laman sosial Portimonense SC seperti yang pernah dilakukan mereka sebelum ini.

Pada aksi di Estadio de Dragao itu, Porto yang juga penyandang juara Primeira Liga membuktikan mereka bukanlah tandingan Portimonense SC apabila memenangi perlawanan dengan keputusan 3-1.

Bagaimanapun, Portimonense SC terlebih dahulu mengejutkan lawan apabila mendahului seawal minit ke-14 menerusi penyudah Beto.

Namun jaringan Chanel Mbemba, Mehdi Taremi dan Sergio Oliveira memastikan tuan rumah berjaya menambah tiga lagi mata.

Sumber : BH

Kekalahan itu menyaksikan Portimonense SC yang dibimbing Paulo Sergio menghuni tangga tercorot Primeira Liga apabila sekadar meraih satu kemenangan dan satu seri daripada tujuh perlawanan untuk menghimpun empat mata.