Perak antara Lima Pasukan terbanyak menewaskan JDT

Lapan musim bermain di Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) muncul juara sebanyak tujuh kali berturut-turut, dan dalam dua musim iaitu 2016 dan 2020 mereka menamatkan saingan tanpa tewas.

Secara keseluruhan, skuad H@rimau Selatan t3was sebanyak 17 kali sejak 2013 dengan pasukan Perak merupakan pasukan yang paling banyak t3waskan mereka, sebanyak tiga kali; manakala Pahang, Selangor, ATM dan Felda United melakukannya sebanyak dua kali.

Kelantan, PDRM, Terengganu FC, Kuala Lumpur, PJ City dan T-Team (kini TFC II) pula pernah merasa nikmat kemenangan sekali ke atas JDT.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa menewaskan JDT menjadi impian semua pasukan, tetapi banyak juga pasukan yang tidak dapat melakukannya walaupun sekali dalam saingan Liga Super.

Kami senaraikan lima pasukan dengan rekod paling buruk men3ntang JDT dalam saingan Liga Super bermula 2013 – 2020.

#5 Lions XII

Lions XII sempat beraksi dalam Liga Malaysia selama empat musim malah bergelar juara Liga Super pada 2013, tetapi gagal untuk merekodkan kemenangan ke atas pasukan jiran mereka itu dalam 6 pertemuan; apabila mencatat 4 keputusan seri dan tewas 2 kali.

Tiga pertemuan pertama kedua-dua pasukan berkesudahan seri 2-2, 1-1 (2013) dan 2-2 (2014).

Peluang terbaik Lions XII untuk menewaskan JDT adalah pada pertemuan keempat di antara mereka pada 2014 apabila mendahului 2-0 di laman sendiri, tetapi ia juga disia-siakan apabila JDT bangkit bergaya untuk mencatat kemenangan dramatik 3-2 menerusi dua jaringan Jorge Pereyra Diaz dan satu oleh Luciano Figueroa.

Mereka seri tanpa jaringan dalam pertemuan seterusnya, sebelum JDT meraih kemenangan 1-0 menerusi jaringan tunggal Luciano Figueroa pada pertembungan terakhir pada Ogos 2015.

#4 Melaka United

Melaka United layak ke Liga Super pada 2017 dan seawal pertemuan pertama dengan skuad JDT sudahpun dib3lasah 7-0.

Hanya sekali mereka berjaya mencuri mata iaitu pada pertemuan kedua tahun 2017 apabila seri 1-1 menerusi jaringan penyamaan minit akhir Jeon Woo Young.

Lima perlawanan seterusnya JDT tidak lagi memberi muka, menang 3-0 dan 4-0 pada 2018; 2-1 dan 2-1 pada 2019; dan sekali lagi berpesta gol menang 5-0 pada 2020.  Keseluruhannya, dalam 7 pertemuan, Melaka seri sekali dan tewas 6 kali.

#3 Sarawak

Sarawak berjaya membawa pulang satu mata dari Larkin setelah mencatat keputusan 1-1 ketika kedua-dua pasukan bertemu pertama kali pada Mac 2014.

Tetapi tujuh pertemuan seterusnya, Sarawak tewas kesemua perlawanan 0-1 (2014); 1-2, 0-2 (2015); 2-5, 1-2 (2016) dan 0-2, 1-3 (2017).

Dalam lapan pertemuan, Sarawak seri sekali dan tewas tujuh kali kepada JDT.

#2 Kedah

Kedah satu-satunya pasukan elit yang tidak pernah menewaskan JDT dalam Liga Super di mana dalam sembilan pertemuan sesama mereka, Kedah mencatat seri 4 kali dan tewas 5 kali – dua daripadanya dalam perlawanan pembuka tirai merangkap perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah.

Kekalahan terbesar dialami Kedah adalah pada Julai 2016 apabila mereka tewas 5-0 di Larkin menerusi dua jaringan Safiq Rahim dan Jorge Pereyra Diaz, serta satu jaringan Marcos Antonio.

#1 PKNS FC 

PKNS FC mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super dengan tiada satupun kemenangan ke atas skuad JDT dalam 10 pertemuan.

Walaupun pernah menewaskan JDT tiga kali dalam pertandingan Piala dan Piala Malaysia, dalam saingan Liga Super mereka hanya berjaya melakar 2 keputusan seri dan tewas 8 kali. 

Ia ternyata bukan satu rekod untuk dibanggakan tetapi itulah bolasepak.