Perak II ‘menghidupkan’ kembali karier N Thanabalan

Semusim bersama Perak II secara pinjaman memberikan pengalaman berharga kepada peny3rang Kedah, N Thanabalan sekali gus ‘menghidupkan’ kembali kariernya menjelang saingan Liga Malaysia (Liga M) 2021.

Bekas penggempur skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan itu yang membuat lima penampilan dalam saingan Liga Perdana musim ini, kembali mendapat perhatian selepas menerima tawaran daripada beberapa kelab termasuk sebuah pasukan Liga Super.

“Kontrak bersama Kedah habis tahun ini dan sekarang ada tiga kelab yang menawarkan kontrak, mungkin musim depan saya akan bermain untuk pasukan baharu.

“Ia masih di peringkat rundingan, lagi pun saya mahu pilih pasukan yang boleh beri saya jaminan minit permainan,” katanya tanpa mendedahkan nama pasukan terbabit.
Pada masa sama anak jati Rantau, Negeri Sembilan itu mengakui keputusan menyertai Perak II dibimbing jurulatih Abu Bakar Fadzim merupakan langkah tepat tatkala nama serta kemampuannya semakin dilupakan sejak mencipta fenomena pada Sukan Sea Kuala Lumpur.

Katanya, peluang diberikan Abu Bakar membantu beliau meningkatkan tahap kecergasan serta dapat memperbaiki kelemahan diri untuk terus kekal relevan dalam kancah tertinggi saingan bola sepak tempatan selain mengintai peluang menyarung jersi skuad kebangsaan.

“Saya membuat keputusan tepat dan memang saya puas hati pergi ke sana (Perak II), sangat berbaloi. Saya dapat rasakan tahap kecergasan semakin bertambah baik memandangkan intensiti program latihan juga tinggi serta kata perangsang yang sering diberikan jurulatih.”

Thanabalan menjadi sebutan peminat bola sepak tanah air pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 , apabila menanduk masuk gol kemenangan Malaysia menewaskan Indonesia, 1-0 pada aksi separuh akhir sekali gus , meraih populariti segera.

Ketika aksi suku akhir Kejuaraan Bawah 23 (B-23) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018, Thanabalan membuktikan terus menyengat di pentas Asia apabila menanduk masuk gol tunggal Malaysia sebelum tewas 1-2 kepada Korea Selatan.

sumber : HM

Namun, Thanabalan bergelut dalam mencipta nama di Liga M akibat kecederaan dialaminya memaksa beliau berehat panjang selain kecenderungan hampir kesemua pasukan tempatan memilih pemain import sebagai penyerang mereka.