Percaturan TFC menjadi, benam Selangor FC 3-1

Percaturan Terengganu FC (TFC) menjadi apabila berjaya meneruskan rentak kemenangan kedua dengan menumpaskan Selangor FC 3-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, sebentar tadi.

TFC yang hanya menurunkan empat tonggak import termasuk dua pemain Terengganu FC II (TFC II), Jordan Mintah dan Dechi Marcel bermula garang dengan percubaan pertama pada minit pertama menerusi Faiz Nasir namun sedikit tersasar.

Skuad Penyu terus menekan The Red Giants apabila memperoleh sepakan percuma pada minit kelapan tetapi tendangan pemain kelahiran Mali, Makan Konate berjaya ditepis penjaga gol, Khairul Azhan Mohd Khalid sekali gus memberi kelegaan buat pelawat.

Sedar kerap diasak, pelawat menukar rentak permainan sebelum memperoleh peluang terbaik pada minit ke-12 melalui tandukan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi namun penjaga gol muda TFC, Rahadiazli Rahalim lebih pantas menyelamatkan bola.

Selang dua minit kemudian Shahrel sekali lagi hampir meletakkan bola ke dalam gawang menerusi rembatan dari luar kotak penalti tapi palang gol menjadi penyelamat ketika penjaga gol sudah tert3was.

Babak pertama menyaksikan tuan rumah berjaya menggegarkan gawang pelawat pada minit ke-35 menerusi tandukan mudah Mintah untuk mendahului separuh masa dengan kelebihan 1-0.

Bersambung babak kedua, Faisal Abdul Halim hampir menambah jaringan buat pasukannya pada minit ke-49 tetapi sekali lagi Khairul Azhan bertindak cemerlang menafikan percubaan pemain itu sebelum dibawa keluar.

Tidak sampai seminit dimasukkan, pemain sayap Mohammad Rahmat Makasuf menceriakan kem skuad Penyu apabila menghasilkan jaringan kedua buat pasukannya melalui rembatan kencang dalam kotak penalti pada minit ke-61 sekali gus mengukuhkan kedudukan 2-0.

Pelawat tidak berputus asa memburu jaringan dan akhirnya berjaya memperoleh gol menerusi jaringan sendiri pemain pertahanan, Muhammad Shahrul Nizam Ros Hasni yang tertampan masuk hasil hantaran Ahmad Danial Ahmad Asri pada minit ke-74.

sumber : BH

Pada masa kecederaan, pemain pertahanan, Mohamad Hakimi Abdullah menambah derita pelawat apabila meledak gol ketiga menjadikan kedudukan 3-1.