Percaya Selangor FC masih mampu mencabar kelompok atasan Liga Super

Kapten Selangor, Brendan Gan, masih belum hilang kepercayaan terhadap pasukannya meskipun skuad Gergasi Merah itu kelihatan terumbang-ambing sepanjang lima perlawanan pertama musim ini.

Menjelang perlawanan dengan UiTM FC di gelanggang lawan hujung minggu ini, Brendan mengakui Selangor masih belum mempamerkan kemampuan sebenar tetapi ia tidak bermaksud mereka bukan lagi pencabar kelompok atasan Liga Super musim ini.

“Apabila kami melihat kembali keputusan-keputusan kami, kami boleh memberikan pelbagai alasan mengenai apa yang berlaku. Mungkin kami tidak bernasib baik dalam beberapa perlawanan yang boleh mengubah situasi dan musim ini tetapi persoalan yang kami terima daripada media juga tidak banyak bezanya. Bagi saya, saya sentiasa positif,” katanya kepada Nadi Arena.

Kemenangan ke atas UiTM mampu menjadi pemangkin baru buat Selangor tetapi pemain tengah itu menyedari skuad kendalian Frank Bernhardt berkenaan tidak boleh dipandang mudah.

“Kami tiada pilihan selain perlu menang tetapi bagi saya, setiap perlawanan perlu dimenangi.

“Tidak kira sama ada menentang UiTM, Johor (Darul Ta’zim) atau (Sri) Pahang, semuanya perlu dimenangi.

“Jadi, saya sentiasa akan turun dalam setiap perlawanan dengan membawa mentaliti dan sikap yang sebenar buat kesemua pemain kerana setiap perlawanan adalah untuk dimenangi.

sumber : SA

“Tiada siapa dalam pasukan ini akan turun beraksi untuk seri atau kalah,” tambahnya.