Sukan

Perlawanan Sri Pahang dengan Melaka United terhenti 10 minit

Sri Pahang FC berkongsi satu mata selepas seri 1-1 ketika berdepan Melaka United di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.

Biarpun mendahului 1-0 menerusi Manuel Hidalgo seawal minit pertama perlawanan, keputusan itu gagal dipertahankan skuad kendalian Dollah Salleh apabila pelawat berjaya menjaringkan gol penyamaan tiga minit sebelum perlawanan tamat.

Pada perlawanan itu, gol tuan rumah dijaringkan menerusi tandukan pemain import Argentina hasil hantaran Abdul Malik Mat Ariff yang men3waskan penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat.

Ketinggalan satu gol menyaksikan pelawat menggandakan asakan dan turut memiliki peluang menyamakan kedudukan tetapi dinafikan jentera pertahanan yang diketuai kapten, Muslim Ahmad.

Peluang terbaik dimiliki Melaka United ialah daripada striker importnya, Giovane Da Silva tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Helmi Eliza Elias pada minit kelima.

Pada minit ke-37, Adriano Narcizo turut mempunyai peluang menjaringkan gol penyamaan tetapi dinafikan Helmi Eliza yang menyaksikan keputusan kekal Sri Pahang mendahului Melaka United pada separuh masa pertama.

Dua minit babak kedua bersambung, perlawanan itu terhenti kira-kira 10 minit selepas satu daripada lampu limpah terpadam.

Sebaik masalah teknikal itu diatasi, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan dilihat tampil lebih garang untuk mendapatkan gol penyamaan ketika tuan rumah dilihat kurang menyerlah.

Pada minit ke-70, Sri Pahang dihadiahkan sepakan penalti selepas Abdul Malik dijatuhkan di dalam kotak penalti tetapi Herold Goulon gagal menyempurnakannya apabila diselamatkan Khairul Fahmi.

Minit ke-87, pemain gantian, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria menjaringkan gol penyamaan buat Melaka United untuk memastikan pasukan itu pulang dengan satu mata.