Pertembungan ‘abang’ dan ‘adik’ jadi tumpuan

Pengendali Kelantan United Football Club (KUFC), Akira Higashiyama memburu tiga mata penuh pada aksi Liga Perdana menentang Kelantan FC, esok.

Akira berkata, kemenangan pada aksi Kelantan ‘derby’ itu sangat penting kerana sudah pasti pertembungan ‘abang’ dan ‘adik’ ini menjadi tumpuan utama peminat bola sepak negeri ini.

Katanya, tambahan pula sasaran mereka untuk tidak tercicir mata memandangkan kedua-dua pasukan kini berkongsi tujuh mata di kedudukan keenam dan ketujuh carta.

“Kita tidak memandang rendah kepada Kelantan FC malah kita menghormati mereka sebagai pasukan yang lebih senior.

“Kita bersiap sedia dan lihat apa keputusan pada esok,” katanya.

Akira berkata, pasukannya kini giat menjalani latihan di Padang Mardi yang lebih menjurus sebagai persediaan getir menghadapi pasukan kendalian Marco Ragini.

Katanya, pemain kini berada dalam keadaan bersemangat dan positif untuk menghadapi pertemuan itu yang bakal menjadi perlawanan besar dan tumpuan terutamanya buat semua pendukung bola sepak di Kelantan.

“Kita turun sebagai pasukan bukan pilihan namun tetap cuba mencari kemenangan.”

Tambah menarik, kedua-dua pasukan turun dengan misi memburu kemenangan apabila KUFC mahu menebus kekalahan musim lalu manakala Kelantan FC pula nekad memburu kemenangan pertama beraksi di laman sendiri selepas t3was dua kali dalam aksi sebelum ini.

sumber : BH

Untuk rekod, kedua-dua pasukan itu pernah bertemu musim lalu dengan kemenangan berpihak kepada Kelantan FC 2-0.