Pertembungan antara dua pasukan dengan aksi tidak yang tidak konsisten

Jika sebelum ini, Karsten Neitzel hanya ketawa apabila ditanya sama ada kekalahan di tangan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang juga kekalahan ketiga pada musim ini akan memberi kesan terhadap kedudukannya selaku pengendali Selangor FC (SFC).

Kini mampukah pengendali dari Jerman itu terus ketawa sekiranya keputusan sekali lagi tidak memihak kepada skuad bimbingannya apabila menyambut kunjungan Perak FC malam ini?

Dengan hanya dua kemenangan daripada tujuh aksi setakat ini, tekanan pasti memuncak buat skuad The Red Giants di mana mereka perlu kembali mengutip mata penuh untuk kembali dalam kelompok atasan liga.

Namun, Neitzel yakin anak buahnya mampu meraih keputusan positif pada aksi malam ini dengan bersandarkan kepada kualiti persembahan yang ditunjukkan mereka sekalipun tumbang 2-1 kepada skuad Lang Merah, Selasa lalu.

“Persembahan seperti ini perlu diteruskan di mana pemain bermain dengan berani. Kita mendapat banyak peluang untuk menjaringkan gol. Jadi kita perlu gunakan ia sebaik mungkin.

“Tidak mudah bermain seperti ini tetapi kalau kita teruskan, kita boleh memenangi aksi seterusnya. Ada peningkatan dari segi persembahan walaupun keputusan tidak begitu baik,” kata Neitzel.

Pertemuan ini juga boleh dianggap pertembungan antara dua pasukan dengan aksi tidak yang tidak konsisten namun beruntung sedikit buat Perak FC, mereka beroleh sedikit tonik selepas bangkit mencipta kemenangan 3-2 ke atas UiTM FC sebelum ini.

Malah, kejayaan itu dicapai ketika mereka sedang dibelenggu dengan isu tunggakan gaji selama dua bulan. Namun dengan perkembangan terkini menyaksikan tunggakan bulan Februari sudah diselesaikan, sudah pasti pemain akan lebih bersemangat untuk aksi malam ini.

Mengulas mengenai aksi ini, jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah mengakui peluang terbuka kepada kedua-dua pasukan, namun pasukan yang dapat ‘settle down’ dengan cepat akan berpeluang cerah untuk pulang dengan kejayaan.

“Dua pasukan ini sedang bergelut dengan prestasi selain menghadapi beberapa masalah di luar padang. Saya pasti kedua-dua jurulatih pun sudah tahu apa yang perlu mereka lakukan untuk mengatasi kelemahan masing masing.

sumber : BH

“Aksi yang sengit tetapi saya lihat pasukan yang dapat segera menyesuaikan diri dan mengawal rentak permainan, mereka ada kelebihan yang besar pada perlawanan ini,” katanya.