Pertembungan Kepakaran Empat benua

Saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2021 tampak amat menarik apabila penyokong bola sepak negara bakal disajikan dengan pertembungan kepakaran taktikal empat benua berikutan kecenderungan kebanyakan pasukan menggunakan khidmat jurulatih import.

Benua berkenaan adalah Eropah, Amerika Utara, Oceania dan Asia.

Tiga pasukan Lembah Klang iaitu Selangor FC, UiTM FC dan Kuala Lumpur lebih berminat menggunakan kepakaran taktikal Eropah dengan Selangor dan UiTM memilih Karsten Nitzel dan Frank Bernhardt dari Jerman manakala Kuala Lumpur memilih bekas jurulatih Kelantan dan JDT dari Croatia, Bojan Hodak.

Pulau Pinang yang baru dinaikkan ke Liga Super selepas menjuarai Liga Perdana musim lalu juga menggunakan khidmat pengendali Eropah dari Republik Czech, Tomas Trucha.

Pasukan Liga Perdana, Kelantan FC yang dimiliki jutawan, Norizam Tukiman pula dikhabarkan sedang berunding untuk mendapatkan khidmat jurulatih Itali.

Juara Liga Super tujuh musim berturut-turut, JDT masih mengekalkan kepakaran taktikal pengendali dari Amerika Utara iaitu Mexico, Benjamin Mora manakala Sri Pahang FC pula menyambar jurulatih berasal dari Amerika Syarikat, Thomas Dooley.

Perak pula terus mengekalkan tenaga pakar dari Oceania iaitu Australia, Mehmet Durakovic yang sudah sinonim dengan bola sepak negara ini.

Namun, jangan memandang rendah kepada keupayaan jurulatih dari Asia terutama Kedah Darul Aman (KDA) FC yang masih menaruh kepercayaan terhadap pengendali berasal dari Singapura, Aidil Sharin Sahak.

Kelantan United pula mencuba kepakaran pengendali dari Jepun yang juga bekas jurulatih Kuching City FC (KCFC), Akira Higashiyama.

Daripada 12 pasukan Liga Super, hanya tiga kelab menggunakan kepakaran taktikal pengendali tempatan iaitu Zainal Abidin Hassan (Melaka United), Nafuzi Zain (Terengganu FC) dan P Maniam (PJ City).

Mengulas perkembangan itu, jurulatih berpengalaman negara, Azraai Khor Abdullah berkata, kehebatan dan kemampuan jurulatih daripada benua berbeza akan diketahui sebaik saingan Liga M bermula kelak.

Beliau berkata, sudah tentu setiap jurulatih terbabit mahu membawa identiti dan corak permainan daripada tempat asal untuk diterapkan kepada pasukan masing-masing.

“Penyokong tanah air akan menyaksikan corak permainan berbeza yang dibawa oleh jurulatih asing ini kerana sudah tentu mereka memiliki pengalaman dan mahu membuktikan keupayaan dalam mencorak permainan.

“Ketika ini terlalu awal mahu mengatakan siapa yang lebih hebat dan terbaik kerana masing-masing belum lagi mempunyai sejarah dalam mengendalikan pasukan Liga M kecuali beberapa pasukan seperti JDT, Perak, KDA FC dan UiTM FC,” katanya.

Sementara itu, Bojan berazam memastikan skuad Kuala Lumpur kekal dalam Liga Super untuk tempoh jangka panjang dan memulihkan reputasi silam selaku antara gergasi bola sepak negara.

“Saya tengok pasukan ini mempunyai kombinasi pemain berpengalaman dan pemain muda yang saya rasa mereka mampu untuk menghasilkan kerja cemerlang untuk pasukan musim ini.

sumber : HM

“Saya mahu mereka ingat bahawa mereka asalnya datang dari Liga Perdana dan kini apabila berada di Liga Super, semuanya akan berbeza dan mahu atau tidak, kita kena berusaha untuk kekal lebih lama dalam divisyen teratas ini,” katanya.