Pertemuan Antara JDT dan Kedah Darul Aman FC Diubah

Kempen Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadualkan bermula pada hujung Februari ini akhirnya diubah kepada 5 Mac ini dengan sepak mula membabitkan pertemuan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC bagi merebut Piala Sumbangsih.

Penundaan itu disahkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas mengambil kira pelbagai faktor susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Kerajaan di semua negeri kecuali Sarawak (PKP Bersyarat) sehingga awal bulan depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan, keputusan itu dicapai sejurus berbincang dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL secara dalam talian serta turut mengambil pandangan dan persetujuan daripada wakil-wakil pasukan dalam satu taklimat khas semalam.

Katanya, MFL bersedia menyediakan beberapa mekanisme seperti prosedur operasi standard (SOP) latihan yang lebih ketat dan SOP latihan kem latihan berpusat secara kuarantin bagi memastikan Liga-M berjalan lebih efektif, selamat dan menghindari segala prospek pandemik Covid-19.

“MFL selepas Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL termasuk mengambil kira pandangan daripada setiap wakil pasukan mencapai kata sepakat untuk meminda tarikh sepak mula Liga-M pada 5 Mac ini.

“Umum mengetahui bahawa status Covid-19 berada di paras yang cukup membimbangkan selain kebergantungan status PKP memainkan faktor tetapi MFL mahu bersedia dengan lebih awal.

“Selain permintaan rakan kongsi liga yang mahukan persiapan sekurang-kurang tiga minggu sebelum sepak mula Liga-M, MFL juga mengambil faktor pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

“Malah, kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) membabitkan JDT serta pertandingan Piala AFC yang menyaksikan dua wakil negara, Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC dalam kejohanan ini menyebabkan keputusan pindaan tarikh Liga-M itu dicapai secara bersama.

“Apa yang pasti, MFL bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) berkenaan penyediaan SOP latihan dan MFL akan sekali lagi membentangkan cadangan-cadangan ini kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan Liga-M musim 2021 berjalan bebas daripada sebarang gelaja Covid-19,” katanya.

sumber : HM

Sebelum ini, status liga tempatan menjadi tanda tanya selepas PKP yang sepatutnya berakhir pada hari ini dilanjutkan sehingga 4 Februari depan.