Pertemuan dengan Sabah FC, Penyokong Penang FC sudah boleh lupakan hajat ke Stadium

Peminat Penang FC yang berhajat untuk menyaksikan aksi pasukan kesayangan mereka menentang Sabah di Stadium Bandaraya, Ahad ini sudah boleh melupakan hajat itu.

Ini kerana Penang FC mengumumkan dalam laman Facebook mereka bahawa tiket sebanyak 2,000 keping sudah habis dijual sejak dijual jam 9.30 pagi tadi.

Sementara itu, peminat Penang FC diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila buat pertama kali menyaksikan perlawanan, selepas lebih setahun tidak dapat berbuat demikian.

Exco Sukan Soon Lip Chee berkata perlawanan pertama melibatkan kehadiran penonton di stadium hanya terbuka kepada penyokong tuan rumah dengan kapasiti 10 peratus iaitu 2,000 orang sahaja berbanding kapasiti asal berjumlah 20,000.

Menurutnya, antara SOP yang digariskan adalah termasuk penonton wajib membawa kad pengenalan diri bagi tujuan imbasan tiket untuk masuk ke stadium, pembelian tiket hanya dalam talian, seorang individu layak membeli maksimum dua tiket dan ia tidak boleh dipindah milik.

“Saya berharap semua penyokong patuhi semua SOP yang ditetapkan oleh kerajaan agar kesihatan semua terjamin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, tempat duduk penonton akan diselang dua kerusi di bahagian sisi dan satu barisan tempat duduk di hadapan dan belakang penonton akan dikosongkan bagi memudahkan penjarakan fizikal.

Katanya, pintu stadium akan dibuka tiga jam sebelum perlawanan bermula jam 9 malam.

Selepas tujuh perlawanan, Penang FC mencatat empat kemenangan, dua kalah dan satu seri untuk menduduki tangga ketiga liga dengan 14 mata.

sumber : BH

JDT menungguli carta liga dengan 17 mata manakala Kedah ketinggalan satu mata di tangga kedua.