Pertemuan Penang FC, JDT mungkin turunkan Import Baharu

Mungkinkah pemain import baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva akan tersenarai dalam kesebelasan utama skuad itu apabila melayani kunjungan Penang FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Persoalan itu belum ada kepastian sama ada pengendali Harimau Selatan, Benjamin Mora akan mengekalkan Fernando Rodriguez mengemudi jentera serangan atau bakal menurunkan Bergson pada aksi kedua menentang skuad Harimau Kumbang itu.

“Kami akan tengok tahap kecergasan Bergson sama ada beliau bersedia diturunkan atau tidak manakala Rodriguez juga ada peluang diturunkan semula tapi perlu lihat dia mampu beraksi selepas aksi menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang berintensiti tinggi.
“Dia mengalami kecederaan namun tidak serius dan kita akan pantau lagi kerana pada aksi menentang KDA FC sememangnya aksi yang begitu mencabar buat dirinya,” katanya.

Mora juga tidak menafikan skuad kendalian Tomas Trucha memiliki barisan pemain yang mantap terutama di posisi serangan yang diterajui Casagrande yang boleh beri ancaman terhadap benteng skuad Harimau Selatan.

Katanya, status Penang FC selaku pendatang baharu dalam kancah liga elit domestik tidak boleh dipandang rendah tatkala pasukan itu memulakan kempen liga dengan kemenangan 1-0 ke atas Kuala Lumpur City FC, Sabtu lalu.

Malah, pengendali dari Mexico itu, menegaskan persiapan yang lebih rapi akan dibuat JDT untuk berusaha mengekalkan momentum kemenangan selepas menang ke atas KDA FC 2-0 pada aksi Piala Sumbangsih, Jumaat lalu.

“Kemenangan ke atas KDA FC beri keyakinan buat setiap pemain untuk mengekalkan corak permainan yang ampuh. Tambah pula aksi kedua kita akan beraksi di laman sendiri dan tidak boleh melepaskan peliuang untuk catat kemenangan.

sumber : HM

“Kami tetap menghormati Penang FC kerana mereka memiliki kekuatan tersendiri. Bagi kesebelasan utama JDT yang akan diturunkan, saya akan pertaruhkan barisan terbaik dan pemain harus beri cabaran kepada diri sendiri untuk berdepan pasukan lawan, malam esok,” kata Mora.