PM ucap Tahniah

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengetuai delegasi badan induk itu melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.

Pada pertemuan di Pejabat Perdana Menteri itu, FAM berkongsi agenda terkini dalam merencanakan hala tuju industri bola sepak tempatan terutama ketika tempoh sukar berdepan pandemik C0 v!d-19.

Hamidin turut mengambil kesempatan memberi maklumat terkini kepada Muhyiddin mengenai status dan jadual skuad kebangsaan serta persiapan menghadapi Liga Malaysia (Liga M) bermula 5 Mac ini.

“Kami membentangkan dengan lebih terperinci mengenai status terkini pasukan kebangsaan serta kalendar perlawanan H@rimau Malaya untuk 2021. Dalam pada itu, kami turut membentangkan mengenai status Liga M berlandaskan prosedur operasi standard (SOP) susulan pandemik COVID-19.

“Kami juga membincangkan inisiatif keperluan vaksin bagi memudahkan keluarga bola sepak tempatan meneruskan saingan Liga M musim ini di sebalik kebimbangan terhadap jumlah kes positif C0 v!d-19,” katanya selepas pertemuan itu.

Hamidin yang diiringi Naib Presiden FAM merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam turut memaklumkan mengenai perkembangan terkini projek pembinaan ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan (NTC) di Putrajaya.

Turut dibincangkan, kaedah menangani cabaran buat pengendali kemudahan sukan bola sepak dan futsal serta akademi bola sepak yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, Hamidin turut menjelaskan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sentiasa membantu dalam mendukung usaha membangunkan dan kelangsungan industri bola sepak.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Hamidin selepas dilaporkan menang tanpa bertanding dalam mengekalkan kerusi selaku Presiden FAM untuk penggal 2021-2025.

sumber : BH

Kemenangan itu akan disahkan dalam Kongres FAM ke-57 bulan depan.