Presiden PAFA ‘melarikan diri’ gaji pemain sangkut, Natijah swasta ‘olok-olok’

Inilah natijahnya apabila pasukan bola sepak diswastakan dengan cara ‘olok-olok’.

Demikian pandangan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa berkenaan kemelut dalaman pasukan Perak FC selepas mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Khamis lalu.

Seperti mana garis panduan penswastaan yang ditekankan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini, individu atau tokoh politik yang berada dalam FA tidak dibenarkan memegang jawatan dalam FC.

Bagaimanapun, Pafa yang sudah menswastakan pasukan Liga Supernya sebagai Perak FC, masih meletakkan Ahmad Faizal sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Kelab, sekali gus ia masih dipengaruhi oleh tangan-tangan politik.

Jelas Sadek, tindakan Ahmad Faizal yang ‘melarikan diri’ dengan melepaskan jawatan dalam Pafa adalah untuk mengelak dirinya daripada didakwa di mahkamah selepas terdapat tunggakan gaji pemain yang masih sangkut sejak November tahun lalu.

“Dia boleh didakwa di mahkamah kerana masalah tunggakan gaji. Kena ingat yang beliau juga adalah salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Kelab, jadi beliau berisiko untuk di bawa ke muka pengadilan.

“Tetapi selepas meletakkan jawatan, mungkin Menteri Besar Perak yang sekarang (Datuk Saarani Mohamad) terpaksa ambil alih di mana kebiasaannya siapa yang jadi Menteri Besar automatik dilantik Presiden FA.

“Memandangkan Perak FC masih lagi pemegang sahamnya adalah Pafa, jadi Menteri Besar sekarang boleh jadi Ahli Lembaga Pengarah Kelab, itu jika diterima oleh Exco.

“Sebab itu dari awal, patutnya Pafa jual sepenuhnya Perak FC dan jangan masuk campur lagi dalam kelab. Ikut contoh macam Kafa (Persatuan Bolasepak Kelantan) yang jual kepada Zamsaham (Norizam Tukiman).

“Tapi bila orang politik duduk dalam bola sepak dan berlaku perubahan kepemimpinan, yang jadi mangsa adalah bola sepak di negeri Perak,” katanya kepada Arena Metro.

Menurut Sadek lagi, Menteri Besar Perak sekarang perlu berani membuat perubahan dengan menjual atau melelongkan Perak FC seperti mana yang dilakukan oleh Kafa.

“Saya rasa dah tiba masanya pentadbiran Kerajaan Perak sekarang buat ikut cara yang betul. Saya cadangkan jualkan saja sepenuhnya Perak FC supaya ada pemilik yang boleh uruskan pasukan tanpa ada campur tangan politik. Duit rakyat jangan diusik.

“Saya percaya mesti akan ada ahli perniagaan yang berminat dengan Perak FC kerana Perak juga antara pasukan yang ada penyokong fanatik ramai. Negerinya besar dan rakyatnya memang sayangkan pasukan bola sepak negeri.

sumber : HM

“Kalau boleh, pasukan lain seperti Kedah, Terengganu dan lain-lain biarlah bergerak penuh oleh pihak swasta dan janganlah walau sedikit pun ada campur tangan Kerajaan lagi,” katanya.