Rekod JDT makin sukar di gugat

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora gembira kelab itu mencatat kemenangan 2-0 ke atas Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, di sini, malam tadi.

Katanya, kemenangan itu memastikan skuad JDT terus menerajui Liga Super selain mengekalkan rekod tanpa kalah selepas sembilan perlawanan.

Saya gembira dengan kemenangan ke atas Sri Pahang kerana tiga mata ini mengukuhkan lagi kedudukan JDT di persada liga hasil daripada komitmen semua pemain.

Walaupun hanya menjaringkan dua gol, saya berpuas hati dengan prestasi dipersembahkan pemain kerana ada ketikanya kita mampu menjaringkan lebih banyak gol.

“Lebih-lebih lagi, Sri Pahang memberi saingan terutama pemain muda mereka. Namun, saya tetap gembira kerana misi membawa pulang tiga berjaya,” kata pengendali kelahiran Mexico itu.

Pada perlawanan itu, gol JDT masing-masing satu dijaringkan oleh Leandro Sebastian dan Bergson Gustavo. Selepas sembilan perlawanan, JDT mengutip 23 mata hasil daripada tujuh kemenangan dan dua seri.

Mengulas kehadiran Safawi Rasid yang baru pulih daripada kec3deraan, Mora percaya striker itu akan mempamerkan prestasi terbaik selepas ini.

“Sudah pasti Safawi yang terlepas beberapa perlawanan akan dapat menemui rentak dan kini perlu bekerja keras untuk berada dalam kesebelasan utama,” katanya.