safawi beraksi penuh selama 90 minit

Pemain sayap negara, Safawi Rasid membuat penampilan pertama bersama skuad B-23 tahun Portimonense SC dalam perlawanan men3ntang Sporting CP.

Perkara ini diumumkan oleh kelab itu di laman media sosial rasmi pasukan dimana Safawi diletakkan dalam kesebelasan utama dan beliau beraksi penuh selama 90 minit.

Walaubagaimanapun, Portimonense gagal meraih kemenangan dimana mereka tewas dengan keputusan 3-1. Portimonense terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Paulo Estrela pada minit ke-17.

Sporting kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Rafael Fernandes pada minit ke-27. Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan seimbang.

Memasuki separuh masa kedua, Sporting menjaringkan dua gol dalam tempoh masa tiga minit menerusi percubaan Duarte Carvalho dan Scoglund.

Kedudukan 3-1 tamat sehingga wisel penamat dibunyikan sekaligus memberi kemenangan kepada bekas kelab Cristiano Ronaldo itu.

Satu permulaan yang baik bagi bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dimana beliau mula terlibat dengan perlawanan skuad pembangunan Portimonense.

Perkara ini sedikit-sebanyak boleh membantu Safawi untuk lebih memahami corak permainan yang diterapkan sekaligus mempersiapkan diri bagi beraksi bersama skuad senior.