Safawi boleh muncul sebagai pemain sayap kaki kiri terbaik dunia

Penghijrahan Safawi Rasid ke Liga Portugal adalah keputusan yang tepat dan misi untuk melihat bintang Harimau Malaya itu menyinar bukan perkara mustahil.

Pengkritik bola sepak negara, Serbegeth Singh berkata demikian kerana melihat Portugal antara platform terbaik buat mana-mana pemain di dunia mengembangkan bakat mereka sebelum beralih ke kelab lebih besar seperti Bayern Munich, Barcelona, Real Madrid, Juventus mahupun Manchester United.

Jelas bekas ‘global adviser’ Blackburn Rovers itu, kebanyakan pemain Amerika Latin iaitu Brazil, Argentina dan Uruguay menjadikan Liga Premier di Portugal sebagai destinasi pertama mereka untuk membina tapak di Eropah.

Fasa sama dilalui Safawi dan beliau yakin tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mampu mencuri perhatian kelab-kelab terbaik di sana.

 

“Lazimnya pemain Brazil atau Argentina akan ke Portugal dulu sebelum mencari kelab lain.

“Mungkin faktor bahasa dan budaya yang tidak jauh beza membuatkan pemain Brazil lebih selesa memulakan karier di Portugal, tetapi sebenarnya Liga Portugal itu sendiri memang berkualiti dan bagus.

“Liga Portugal adalah liga pembangunan yang sangat sesuai untuk pemain-pemain luar Eropah membina asas kerjaya sebagai pemain profesional.

“Bagi saya, Portugal adalah destinasi tepat buat Safawi dan corak serta gaya permainan Safawi tidak jauh berbeza dengan permainan pantas dan kemahiran yang amat ditekankan dalam liga di sana.

“Saya percaya Safawi boleh berjaya dan saya takkan terkejut kalau selepas ini ada kelab besar ingin mendapatkan khidmatnya,” katanya.

Khamis lalu, Safawi diperkenalkan secara rasmi oleh pengurusan Portimonense SC sebagai pemain baharu bagi menguatkan cabaran kelab itu yang beraksi dalam liga utama Portugal.

Safawi, 23, berpindah secara pinjaman selama semusim tetapi diberi pilihan oleh JDT untuk membeli secara tetap.

Sumber : UM

“Kelebihan utama Safawi adalah kekuatan kaki kirinya. Tidak ramai pemain Eropah yang berkaki kiri dan saya ramalkan dia boleh muncul sebagai pemain sayap kaki kiri terbaik dunia selepas ini,” ujarnya.