Sah dua Pemain JDT dipinjamkan ke Newcastle Jets

Juara Liga Super, kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sah meminjamkan dua pemain mereka iaitu Syahrian Abimanyu dan Liridon Krasniqi kepada kelab Australia, Newcastle Jets.

Perkembangan itu dimaklumkan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menerusi satu kenyataan pada akaun Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers, hari ini.

Kenyataan media Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards. - Foto ihsan Johor Southern Tigers.

Edwards bagaimanapun tidak memaklumkan berapa lama tempoh pinjaman bagi dua pemain itu bersama Newcastle Jets.

“Kami telah menandatangani Syahrian pada penghujung 2020 sebagai pelan jangka panjang dan langkah pinjaman ini adalah selari dengan aspirasi untuk membentuk pemain ini bagi beberapa tahun akan datang.

“Kami ucapkan selamat maju jaya kepada kedua-dua pemain,” kata Edwards.

BH Sukan sebelum ini melaporkan khabar angin dua pemain itu bakal dipinjamkan ke Newcastle Jets.

Justeru, perkembangan itu juga sekali gus menamatkan spekulasi yang bertiup sebelum ini bahawa Liridon yang juga pemain naturalisasi negara akan kembali ke pasukan lamanya, Kedah.

Mengenai Syahrian pula, ia bukan berita yang mengejutkan kerana pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini mengakui pemain Indonesia itu adalah perancangan jangka panjang kelab dan akan dipinjamkan ke pasukan luar negara.

Sementara itu, Liridon menerusi beberapa perkongsian pada akaun Instagram Story miliknya, membayangkan sudah tiba di Australia dan sedang menjalani kuarantin.

“Mendarat, bersedia untuk cabaran yang baharu,” tulis Liridon sambil meletakkan simbol lokasi di Australia.

sumber : BH

“Sebelum persembahan bermula…pertama, beberapa hari kena kuarantin.”