Saingan belum bermula, Lima pasukan sudah berdepan isu gaji

Sekurang-kurangnya lima pasukan Liga Malaysia (Liga M) didakwa sudah berdepan isu pembayaran gaji walaupun saingan musim ini belum lagi membuka tirainya.

Dakwaan itu sudah pasti menjadi satu perkhabaran yang menyedihkan apatah lagi semua pasukan sudah menjalani proses penswastaan bermula tahun ini.

Malah, menurut sumber yang boleh dipercayai, lima pasukan terbabit bukanlah calang-calang pasukan kerana empat daripadanya akan beraksi di Liga Super dan satu di Liga Perdana musim ini.

Sumber berkenaan berkata, masalah pembayaran gaji itu membabitkan gaji bagi Disember tahun lalu dan Januari tahun ini.

“Ada yang tidak menerima gaji sejak Disember (tahun lalu) kerana ada kontrak mereka yang bermula pada Disember lagi. Ada juga pemain tidak menerima gaji bermula Januari (tahun ini).

“Pemain juga sudah mula risau kerana liga pun tak mula lagi sudah ada masalah gaji. Malah, sekarang sudah nak ke penghujung Februari.

“Ia sangat menyedihkan kerana kita sudah masuk era penswastaan selain MFL (Liga Bolasepak Malaysia) juga sudah memperkenalkan Program Kawalan Ekonomi (ECP) sebelum ini,” kata sumber itu yang enggan namanya didedahkan.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini dilaporkan tidak memberi jaminan bahawa penswastaan dapat menyelesaikan masalah tunggakan gaji yang sudah lama membelenggu kancah Liga M.

sumber : BH

Namun, setiap pasukan sepatutnya membuka tirai penswastaan bermula musim ini dengan perkara yang lebih positif, bukannya terus dijangkiti ‘penyakit’ lama.