Secara keseluruhan saya kurang berpuas hati – safawi

Saya masih belum berpuas hati dengan permainan saya biarpun turun dalam kesebelasan utama.”

Itu kata bintang bola sepak negara, Safawi Rasid selepas dia turun buat pertama kalinya bersama skuad bawah 23 tahun (B-23) Portimonense SC menentng Sporting CP, semalam.

Jelas tonggak sayap berkaki kiri itu, permainan pantas Liga Portugal terutamanya membabitkan saingan B-23 nyata cukup berbeza dengan Liga Malaysia.

Katanya, dia mahu segera menyesuaikan diri dan percaya akan tampil lebih bertenaga sekaligus cuba mengetuk pintu skuad utama Portimonense SC yang bertanding dalam Liga Primeira.

“Di sini perbezaan corak permainan sangat lain, ia lebih laju, teknik dan fizikal juga semua berbeza dan perlu buat keputusan dengan cepat.

“Ini permulaan yang baik untuk saya walaupun bermula dengan pasukan bawah 23 tahun. Masih banyak yang perlu saya pelajari terutama menyesuaikan diri dengan cuaca dan corak permainan.

“Secara keseluruhan saya kurang berpuas hati dengan aksi semalam (kelmarin) kerana gagal membantu pasukan menang tetapi ia satu pengalaman yang berharga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada aksi itu, Safawi yang dipinjamkan selama semusim oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) disenaraikan dalam kesebelasan utama.

Pemain H@rimau Malaya itu beraksi penuh sepanjang 45 minit babak pertama sebelum dia ditukarkan pada minit ke-56 dengan pasukannya tewas 1-3 kepada Sporting CP.

“Perjalanan masih jauh dan saya masih cuba menyesuaikan diri. Seperti yang saya katakan sebelum ini, matlamat utama adalah merebut tempat dalam kesebelasan skuad utama.

Sumber: HM

“Mungkin peluang itu akan hadir selepas ini. Perkara paling penting sekarang saya kena cepat menyesuaikan diri, beri aksi terbaik supaya jurulatih yakin dengan kemampuan dimiliki,” katanya.